fb fb fb fb fb

Perkukuh hubungan serantau, PM Jepun adakan lawatan ke Vietnam dan Filipina

Foto REUTERS

TOKYO, 23 April- Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, akan mengadakan lawatan ke Vietnam dan Filipina bermula Ahad ini, menurut pegawai kerajaan, ketika Tokyo berusaha memperkukuh hubungan serantau susulan tekanan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Lawatan Ishiba berlangsung selepas Presiden China, Xi Jinping, melengkapkan jelajah Asia Tenggaranya, ketika Beijing berusaha mengukuhkan peranannya sebagai kuasa stabil yang mampu menggantikan AS, di saat pemimpin rantau tersebut terus berdepan tekanan dasar tarif Trump.

Menurut Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi, memperkukuh hubungan dengan Asia Tenggara yang merupakan pusat pertumbuhan ekonomi global serta lokasi strategik adalah antara keutamaan diplomasi Jepun.

“Hubungan dengan Vietnam dan Filipina sangat penting, memandangkan populasi mereka melebihi 100 juta dan pertumbuhan ekonomi mereka kekal kukuh,” katanya dalam satu sidang media.

Semasa di Vietnam, Xi menyeru Hanoi agar bekerjasama menentang “penindasan unilateral dan mempertahankan kestabilan sistem perdagangan bebas global” menurut media kerajaan China.

Beberapa jam kemudian, Trump mendakwa lawatan Xi ke Hanoi sebagai usaha untuk “menekan” AS.

Kenyataan rasmi dari Manila memaklumkan bahawa Ishiba akan melawat Filipina dari 29 hingga 30 April.

“Pertemuan antara Presiden Marcos (Ferdinand Marcos Jr) dan Perdana Menteri Ishiba bertujuan memperdalam serta meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan pembangunan, hubungan politik dan pertahanan, serta pertukaran rakyat dengan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Walaupun Jepun merupakan pelabur asing terbesar di AS, negara itu turut terkesan dengan tarif tinggi yang dikenakan oleh Trump ke atas import kereta, keluli dan aluminium.

Jepun termasuk dalam senarai tarif umum sebanyak 10 peratus, namun tarif “resiprokal” sebanyak 24 peratus terhadap Jepun kini ditangguhkan.

Trump juga menangguhkan tarif serupa ke atas Vietnam (46 peratus) dan Kemboja (49 peratus), di mana beberapa syarikat Jepun termasuk gergasi permainan Nintendo telah memindahkan sebahagian operasi mereka sejak beberapa tahun lalu, untuk mengelakkan kesan perang dagang AS-China.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM