fb fb fb fb fb

Tentera Israel bunuh tiga pejuang Palestin di Tebing Barat

(Rumah rosak susulan serbuan tentera Israel di kem Balata, Nablus, Tebing Barat/FOTO REUTERS)

BAITULMAQDIS, 22 Mei-Tiga rakyat Palestin terkorban dalam serbuan dilakukan tentera Israel di Tebing Barat awal pagi Isnin.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam kenyataannya mengenal pasti tiga lelaki yang terbunuh di kem pelarian sebagai Balata di Nablus sebagai Muhammad Abu Zaytoun (32), Fathi Abu Rizk (30) dan Abdullah Abu Hamdan (24).

Tentera Israel bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Briged Syuhada Al-Aqsa, sayap bersenjata parti Fatah pimpinan Presiden Palestiin Mahmoud Abbas, berkata dalam satu kenyataan bahawa ketiga-tiga mangsa adalah antara "pejuang" kumpulan itu.

Insiden terbaharu berlaku lebih seminggu selepas gencatan senjata Gaza berikutan konflik rentas sempadan lima hari antara Israel dan kumpulan Jihad Islam.

Sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin dan 20 warga Israel terbunuh dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin.

Sementara itu, Washington menyuarakan kebimbangan berhubung lawatan provokasi Menteri Keselamatan Negara Haram Israel, Itamar Ben-Gvir ke perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada Ahad.

Menurut Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Matthew Miller, tapak suci itu tidak seharusnya digunakan untuk tujuan politik.

Lawatan Itamar Ben-Gvir menyusul tiga hari selepas beliau dan puluhan ribu warga Israel berhaluan kanan menyertai perarakan bendera Yahudi di Kota Lama Baitulmaqdis Timur.

Perarakan itu dibantah penduduk Palestin yang mengadakan protes di Gaza.-AFP




(Itamar Ben-Gvir dilihat di perkarangan Masjid Al-Aqsa/FOTO Reuters)

Media Baharu