PORT-AU-PRINCE, 4 Januari – Pasukan keselamatan dari Guatemala dan El Salvador tiba di Port-au-Prince pada Jumaat untuk memperkukuhkan misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang tertangguh sekian lama.
Misi itu bertujuan memulihkan keamanan di Haiti yang kini dilanda konflik berdarah akibat kegiatan geng bersenjata.
Pasukan yang terdiri daripada 75 anggota Guatemala dan lapan anggota El Salvador itu disambut oleh Presiden Majlis Presiden Peralihan Haiti, Leslie Voltaire, bersama Perdana Menteri Alix Didier Fils-Aime dan Duta Besar Amerika Syarikat, Dennis Hankins.
Sambutan dilakukan di lapangan terbang Port-au-Prince, menurut kenyataan kerajaan sementara Haiti di media sosial.
Kerajaan Haiti menyatakan bahawa pasukan tersebut akan memperkukuhkan Pasukan Multinasional dalam memerangi geng bersenjata yang menguasai negara itu.
Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo, pada September lalu berjanji menghantar 150 anggota polis tentera dengan peralatan peribadi.
El Salvador pula pada Ogos menyatakan kesediaan menghantar 78 askar untuk operasi pemindahan perubatan, selain menyediakan tiga helikopter untuk membantu pasukan keselamatan Haiti menangani cabaran kawasan pergunungan dan sekatan jalan raya yang dikawal geng.
Presiden El Salvador, Nayib Bukele, yang terkenal dengan pendekatan keras terhadap jenayah terancang di negaranya, menyatakan keyakinan bahawa beliau mampu memulihkan Haiti dan menyeru agar geng-geng dihapuskan sepenuhnya.
Misi tersebut diketuai Kenya, yang telah menghantar hampir 400 anggota polis pada tahun lalu, namun jumlah tersebut masih jauh daripada 1,000 anggota yang dijanjikan.
Pasukan Kenya disertai oleh 24 anggota dari Jamaica dan dua pegawai kanan dari Belize.
Bagaimanapun, misi tersebut gagal menghalang geng-geng daripada terus menguasai wilayah baru dan melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Insiden keganasan yang meningkat pada akhir tahun 2024 menyebabkan ribuan penduduk Haiti terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Polis kebangsaan Haiti turut menghadapi krisis apabila kehilangan beribu-ribu anggota dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Setakat ini, kira-kira 10 negara telah berjanji untuk menghantar lebih 3,100 anggota tentera ke Haiti, namun hanya sebilangan kecil pasukan yang telah dikerahkan.-REUTERS