fb fb fb fb fb

Tembakan di majlis perkahwinan, dua maut di Kanada

MONTREAL, 2 September- Dua orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam kejadian tembakan di lokasi majlis perkahwinan di Ottawa, Kanada pada Sabtu lalu.

Tembakan dilapor berlaku di kawasan pakir kereta ketika dua majlis perkahwinan sedang berlangsung secara serentak di lokasi terbabit, kira-kira pukul 10.21 malam waktu tempatan.

Insiden menyebabkan para tetamu terkejut dan panik serta berasak-asak untuk melarikan diri.

Sebaik polis tiba, semua tetamu tidak dibenarkan meninggalkan lokasi kejadian, namun diarahkan berada di dalam kereta masing-masing.

"Mangsa tembakan dikenal pasti sebagai Said Mohamed Ali, 26, dan Abdishakur Abdi-Dahir, 29. Kedua-duanya berasal dari Toronto," menurut Polis Ottawa dalam laman sosial X, yang dahulunya Twitter.

Motif kejadian sedang disiasat polis, namun setakat ini tiada bukti menunjukkan serangan ada kaitan dengan jenayah kebencian kaum atau agama.

Sehingga petang semalam, tiada tangkapan dibuat.

Kematian terbaharu itu menjadikan sejumlah 12 kes pembunuhan dicatatkan di Ottawa bagi tahun ini.

Beberapa bandar lain di Kanada juga menyaksikan peningkatan ketara dalam keganasan bersenjata sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak 2009, negara itu menyaksikan peningkatan 81% dalam jenayah senjata api. -AFP

(FOTO HIASAN)

Media Baharu