fb fb fb fb fb

PRK Pulai, SPR giat jalankan persiapan akhir undi awal

JOHOR BAHRU, 4 September- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) giat menjalankan persiapan akhir sempena hari mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Parlimen Pulai, esok.

Persiapan itu melibatkan kerja penyediaan peralatan proses mengundi yang bakal berlangsung di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2 dan Balai Polis Kempas, Johor Bahru.

Sebanyak tiga saluran dibuka bagi proses undi awal di dua pusat mengundi berkenaan, melibatkan pegawai dan anggota polis.

Sejumlah 881 pegawai dan anggota akan mengundi di dua saluran di Markas PPPM Wilayah 2 Tampoi manakala 46 lagi di Balai Polis Kempas.

Proses mengundi awal dijadual bermula pada pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang melibatkan pusat mengundi di PPM Wilayah 2 manakala di Balai Polis Kempas hanya dibuka sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja.

Pemeriksaan peralatan bagi tujuan undi awal dijalankan di bilik operasi SPR di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pagi tadi.

Tinjauan turut menyaksikan sebanyak 17 daripada 226 undi pos telah diterima di Pusat Penerimaan Balik Sampul Undi Pos, di Menara MBJB.

Semua kertas undi awal dan undi pos akan dikira selepas pukul 5.00 petang, pada hari mengundi, 9 September ini.


(FOTO RTM)

Media Baharu