fb fb fb fb fb

PRK Pulai: 927 pegawai, anggota polis mengundi awal esok

JOHOR BAHRU, 4 September- Seramai 927 pemilih terdiri daripada pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, esok.

Kesemua pengundi akan mengundi di dua pusat mengundi awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Kempas dan Dewan Nusantara, Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon berkata persiapan akhir bagi undi awal berjalan lancar.

Ia termasuk melakukan semakan peralatan, peti undi awal dan persiapan saluran di pusat mengundi.

"Pihak SPR telah melaksanakan semakan peralatan bagi tujuan perjalanan pilihan raya esok iaitu bagi undi awal dan undi awal esok hanya berlangsung di P161 iaitu seramai 881 anggota polis akan mengundi di Markas Pasukan Polis Mari dan seramai 46 anggota polis akan mengundi di Balai Polis Kempas," katanya kepada RTM, di sini.

(Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon)

Mengikut data SPR, kedua-dua pusat pengundian akan dibuka serentak pada pukul 8 pagi.

Namun tempoh masa mengundi di Balai Polis Kempas adalah sehingga 12 tengah hari.

SPR menugaskan 2,600 petugas di Parlimen Pulai dan 687 lagi di Dewan Negeri Simpang Jeram bagi melancarkan proses undi awal dan hari pengundian, Sabtu ini.

Media Baharu