TEHRAN, 16 Jun – Iran memaklumkan kepada perantara Qatar dan Oman bahawa mereka tidak akan memulakan sebarang rundingan semasa dalam serangan.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang pegawai yang tidak mahu namanya didedahkan.
Menurut pegawai tersebut, Tehran menyatakan hanya akan menyambung rundingan secara serius selepas selesai bertindak balas terhadap serangan Israel.
Kenyataan tersebut dibuat ketika konflik ketenteraan yang memuncak antara Israel dan Iran sejak Jumaat lalu, termasuk serangan besar-besaran oleh Israel ke atas sasaran ketenteraan dan nuklear Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata Israel akan memastikan Iran “membayar harga yang mahal” atas serangan yang menyebabkan kematian orang awam.
Sumber itu turut menafikan laporan bahawa Iran telah meminta Qatar dan Oman untuk menghubungi Amerika Syarikat bagi rundingan gencatan senjata atau menyambung semula rundingan nuklear.
Oman turut mengesahkan bahawa pusingan keenam rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat yang sepatutnya diadakan pada Ahad di Muscat telah dibatalkan.
Rundingan tersebut dimulakan pada April lalu, namun situasi semasa menjadikan masa depan rundingan berkenaan tidak menentu.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump menafikan pembabitan Washington dalam kempen ketenteraan Israel terhadap Iran.
Namun beliau memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan bertindak balas dengan kekuatan ketenteraan penuh sekiranya Iran menyerang kepentingan AS.
Trump kemudiannya menggesa kedua-dua negara supaya “mencapai perjanjian”.-AFP.