TEHRAN, 16 Jun – Jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani, memaklumkan bahawa Iran sudah bersedia untuk memulakan pusingan keenam rundingan nuklear di Oman sebelum Israel melancarkan serangan awal pada Jumaat lepas.
Kenyataan itu dibuat dalam satu siaran televisyen negara itu.
Ia susulan pertempuran yang semakin memuncak antara Israel dan Iran yang telah meragut banyak nyawa.
Dalam pada itu, Mohajerani berkata beberapa penerbangan telah dibatalkan di Iran, namun kerajaan menjamin bekalan makanan dan keperluan asas rakyat mencukupi. Tempat perlindungan seperti stesen kereta api bawah tanah dan sekolah juga disediakan untuk orang awam.
Sementara itu, tentera Israel memberi amaran kepada penduduk Iran yang tinggal berhampiran kemudahan senjata supaya berpindah, selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa serangan Israel akan terus dipertingkat.
Amerika Syarikat dilaporkan sedang berunding dengan Iran bagi mendapatkan komitmen untuk mengehadkan program nuklear Tehran.
Iran sebelum ini menegaskan programnya adalah untuk tujuan awam, namun Israel menganggapnya sebagai ancaman kerana potensi senjata yang dimiliki.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, turut menyatakan bahawa serangan Israel bertujuan menggagalkan rundingan tersebut yang dijadualkan berlangsung di Oman sebelum ia akhirnya dibatalkan.
Beliau mendakwa serangan Israel disokong oleh Amerika Syarikat dan menegaskan bahawa tindakan Iran hanyalah mempertahankan diri.-REUTERS.