HONG KONG, 6 September - Pihak berkuasa wilayah Hainan di selatan China memindahkan lebih 400,000 penduduk susulan ancaman Taufan Yagi yang dijangka membadai wilayah itu pada Jumaat, ketika fenomena itu juga memaksa ribuan orang di negara jiran Vietnam mencari tempat perlindungan.
Yagi yang berisiko menjadi ribut terkuat yang pernah melanda kawasan tersebut dalam tempoh lebih sedekad, telah meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa di Filipina pada awal minggu ini ketika ia masih diklasifikasikan sebagai ribut tropika.
Ia mencetuskan banjir dan tanah runtuh semasa membadai kepulauan utama Luzon sebelum menambah kekuatan angin sejak beberapa hari lepas.
Taufan Yagi dijangka membadai sepanjang pantai Hainan, sebuah destinasi popular untuk percutian dan wilayah jiran Guangdong pada lewat Jumaat, lapor agensi berita Xinhua.
Terdahulu, Kementerian Sumber Air pada Khamis telah meningkatkan amaran banjir di kedua-dua wilayah tersebut kepada tahap ketiga tertinggi.
Sementara itu, menurut NASA Earth Data, Yagi yang mengumpulkan kekuatan angin selaju lebih 240 kilometer sejam (km/j) menjadikan ia "bersamaan dengan taufan kategori empat".
Taufan itu yang selepas merentas selatan China dijangka bergerak menuju Vietnam melibatkan wilayah utara dan di bahagian tengahnya iaitu di sekitar tapak warisan UNESCO yang terkenal, Halong Bay pada Sabtu. - AFP.