BEIJING, 6 September – Lebih 400,000 penduduk di pulau Hainan, China, telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga sebelum Taufan Super Yagi melanda.
"Wilayah selatan China, Hainan, telah memindahkan 419,367 penduduk setakat pukul 11:30 pagi tadi menjelang taufan yang dijangka tiba tidak lama lagi," lapor agensi berita rasmi China, Xinhua
Taufan Yagi yang membawa angin kencang dan hujan lebat dijangka melanda wilayah Hainan, selatan China hari ini, memaksa penutupan sekolah untuk hari kedua dan penerbangan dibatalkan.
Dengan angin maksimum yang mampu mencapai 245 kilometer sejam, Yagi dikategorikan sebagai taufan tropika kedua paling kuat di dunia tahun ini selepas taufan Atlantik kategori 5, Beryl.
Yagi dijangka mendarat di sepanjang pantai China dari Wenchang di Hainan hingga Leizhou, Guangdong pada petang ini.
Angin dan hujan disertai dengan guruh dan kilat yang kuat turut dilapor berlaku di seluruh kawasan tersebut sepanjang malam dan pagi ini.
Selepas bergerak ke arah selatan China, Yagi akan menuju ke Vietnam dan diramal melanda wilayah utara dan tengah utara sekitar tapak warisan UNESCO yang terkenal, Teluk Halong, pada Sabtu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, puluhan ribu orang akan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat di wilayah Hai Phong dan Thai Binh Jumaat.
“Ini akan menjadi taufan paling kuat (yang melanda utara Vietnam) dalam 20 tahun,” kata Pham Duc Luan, ketua pihak berkuasa pengurusan benteng semalam.
Lebih daripada 457,000 anggota tentera telah digerakkan oleh jabatan bantuan dan penyelamat kementerian pertahanan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kemudahan pengangkutan di seluruh selatan China juga dihentikan operasi hari ini dengan banyak penerbangan dibatalkan di Hainan, Guangdong, Hong Kong dan Macau.
Jambatan utama yang menghubungkan Hong Kong dengan Macau dan Zhuhai di Guangdong, juga ditutup.
Di pusat kewangan Hong Kong, bursa saham digantung, sementara sekolah-sekolah kekal ditutup buat hari kedua.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kerajaan China juga mengerahkan pakar ke Guangdong dan Hainan untuk mengambil tindakan mencegah banjir.
Dari 1949 hingga 2023, sebanyak 106 taufan mendarat di Hainan tetapi hanya sembilan yang diklasifikasikan sebagai taufan super. - AFP