DHAKA, 27 Mei- Angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan pantai Bangladesh dan India ketika taufan besar Remal melanda semalam, menyebabkan jutaan orang terputus bekalan elektrik selepas tiang elektrik dan beberapa pokok tumbang akibat angin kencang.
Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), ribut melintasi kawasan pantai pelabuhan Mongla, Bangladesh dan Kepulauan Sagar yang bersebelahan di negeri Bengal Barat, India dengan kelajuan angin sehingga 135 kilometer sejam (km/j).
Ribut itu melanda bermula sekitar jam 9 malam waktu tempatan di India semalam dan berterusan selama kira-kira lima jam, menurut pejabat meteorologi wilayah di Kolkata.
Ekoran itu, seorang maut di bandar metropolitan utama Kolkata apabila ketulan konkrit menimpanya.
Pantai rendah negara jiran Asia Selatan Bangladesh dan India mengalami ribut teruk yang kerap sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan perubahan iklim memaksa peningkatan suhu permukaan laut. Remal ialah taufan pertama tahun ini di rantau ini.
Berikutan bencana itu, Bangladesh memindahkan kira-kira 800,000 orang dari kawasan pelabuhan Mongla dan Chittagong serta sembilan daerah pantai ke tempat perlindungan ribut mulai petang semalam.
Seramai 110,000 orang turut dibawa ke tempat perlindungan di India.
Dhaka menubuhkan hampir 8,000 tempat perlindungan puting beliung dan menggerakkan 78,000 sukarelawan menjelang ribut manakala tentera laut India bersedia memastikan pengerahan kapal, pesawat, penyelam dan bekalan perubatan jika perlu.
Pihak berkuasa di Bangladesh turut menutup bekalan elektrik di kebanyakan kawasan lebih awal untuk mengelak kemalangan manakala banyak bandar pesisir pantai dibiarkan dalam kegelapan apabila pokok tumbang dan talian terputus mengganggu bekalan, kata pegawai kementerian kuasa.
“Kami tiada bekalan elektrik sejak malam, bateri mudah alih saya akan kehabisan pada bila-bila masa. Dengan izin Allah, taufan itu tidak seganas yang kita sangkakan,” kata Rahat Raja, seorang penduduk di daerah pantai Satkhira di Bangladesh.
Lebih 50 penerbangan antarabangsa dan domestik terpaksa dibatalkan di bandar Kolkata kerana operasi masih digantung sejak semalam dan Bangladesh juga menggantung operasi di pelabuhan Mongla dan Chittagong.
Tambak sungai di delta Sunderbans iaitu hutan bakau terbesar di dunia yang dikongsi oleh India dan Bangladesh, mengalami kerosakan teruk dengan air pasang besar melanggar benteng perlindungan di banyak tempat.
Kolkata, sama seperti kawasan pesisiran pantai lain, turut dilanda hujan lebat dengan sekurang-kurangnya enam pokok tumbang hingga menghalang jalan raya, manakala terdapat juga beberapa laporan rumah runtuh, kata polis.
Ribut itu juga membawa hujan lebat ke ibu negara Bangladesh, Dhaka, menyebabkan jalan raya banjir dan memberi kesan teruk kepada pengguna. - REUTERS