fb fb fb fb fb

Gunung Ibu di Indonesia meletus lagi

Gunung Ibu di timur Indonesia memuntahkan awan abu sepanjang enam kilometer ke langit hari ini dalam kejadian terbaru hampir 100 letusan sejak awal tahun ini/ AFP

JAKARTA, 27 Mei- Sebuah gunung berapi di timur Indonesia memuntahkan kepulan abu sepanjang enam kilometer ke langit dalam kejadian terbaharu hari ini. Setakat ini Hampir 100 letusan berlaku sejak awal tahun ini.

Letusan di Gunung Ibu di Pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara berlaku pada 3.30 pagi waktu tempatan itu menyebabkan pasir jatuh ke kawasan sekitar, menurut pihak berkuasa.

Gunung berapi itu, yang telah meletus sekurang-kurangnya 95 kali sejak awal tahun ini, kini berada pada tahap berjaga-jaga tertinggi dalam sistem empat peringkat selepas pihak berkuasa Indonesia menaikkannya awal bulan ini.

"Tiang abu diperhatikan, berwarna kelabu dengan intensiti tebal, hanyut ke arah barat,"

“Bunyi gemuruh kedengaran sehingga ke pos (pemantauan),” kata Ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak pergi dalam zon terkecuali antara empat kilometer dan tujuh kilometer dari kawah gunung berapi itu.

Gunung berapi itu meletus beberapa minggu lalu pada skala sama, menyemburkan abu seperti menara besar sejauh lima kilometer ke langit.

Ibu adalah salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, meletus lebih daripada 21,000 kali tahun lepas.

Menurut Agensi Geologi, ia mencatatkan purata 58 letusan sehari pada 2023.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap disebabkan kedudukannya dalam Lingkaran Api Pasifik.

Bulan lalu, Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa ribuan penduduk pulau berdekatan berpindah.

Ia kekal pada tahap amaran tertinggi.

Ke semua 800 atau lebih penduduk pulau Ruang akan dipindahkan secara kekal- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI