fb fb fb fb fb

Taufan Noru mengganas di Filipina, penduduk diarah pindah

(Anggota pasukan penyelamat Filipina menyediakan bot getah
dan jaket keselamatan bagi menghadapi Taufan Noru/AFP)

MANILA, 25 September- Taufan Noru melanda Filipina Ahad dan membadai pulau utama Luzon yang padat dengan penduduk, sekali gus memaksa pemindahan komuniti pantai ke tempat lebih selamat, kata pihak berkuasa.

Taufan kategori tiga itu dengan kelajuan angin maksimum pada 195 kilometer sejam, kata peramal cuaca negeri.

Ribut itu, yang paling kuat melanda Filipina tahun ini, dijangka mendarat sekitar 80 kilometer ke timur laut ibu kota Manila yang luas pada sebelah petang waktu tempatan.

"Kami telah meminta penduduk yang tinggal di zon bahaya untuk mematuhi arahan pemindahan sekiranya perlu," kata Ketua Polis Negara Filipina Jeneral Rodolfo Azurin.

Filipina kerap dilanda ribut, dan para saintis telah memberi amaran perubahan iklim yang semakin panas menjadikan taufan semakin kuat.

(Anggota pasukan penyelamat Filipina bersedia di pejabat mereka di Quezon City/AFP)

Peramal cuaca Robb Gile berkata, "peningkatan mendadak Noru ketika menghampiri daratan belum pernah berlaku sebelum ini". Agensi meteorologi itu berkata kelajuan anginnya meningkat sebanyak 90 kilometer sejam dalam masa 24 jam.

"Taufan diibaratkan seperti enjin, ianya memerlukan bahan api dan ekzos untuk berfungsi," kata Gile.

"Dalam kes Karding, ia mempunyai bahan api yang baik kerana mempunyai banyak perairan suam di sepanjang laluannya dan keadaan atmosfera juga baik, jadi ia adalah punca untuk menghasilkan letupan," katanya.

Di Manila, kakitangan kecemasan bersiap sedia menghadapi kemungkinan angin kencang dan hujan lebat melanda bandar yang mempunyai lebih 13 juta penduduk itu.

Pemindahan paksa telah bermula di beberapa kawasan berisiko tinggi di ibu negara, kata pihak berkuasa.

Merujuk kepada Wilayah Ibu Kota Negara, "NCR bersedia. Kami hanya menunggu dan berharap taufan ini tidak akan melanda," kata Romulo Cabantac, pengarah wilayah bagi pejabat pertahanan awam.-AFP


Media Baharu