fb fb fb fb fb

Taufan Nanmadol; 20,000 orang bermalam di pusat perlindungan

(FOTO AFP)

IZUMI, 18 September - Taufan Nanmadol mula melanda kawasan barat daya Jepun, ketika pihak berkuasa menggesa berjuta-juta penduduk supaya berlindung daripada angin kencang dan hujan lebat.

Ribut itu secara rasmi mendarat sekitar pukul 7 malam waktu tempatan, berhampiran bandar Kagoshima, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Ia membawa angin kencang dengan kelajuan sehingga 234 kilometer sejam.

Sekurang-kurangnya 20,000 orang bermalam di pusat perlindungan di wilayah Kagoshima dan Miyazaki Kyushu.

Penyiar nasional, NHK melaporkan, lebih tujuh juta orang telah diarahkan berpindah ke tempat perlindungan atau berlindung di bangunan kukuh untuk mengharungi ribut.

“Sila jauhi tempat berbahaya dan berpindah jika anda merasakan sedikit pun bahaya,” twit Perdana Menteri, Fumio Kishida selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan berkaitan ribut.

"Adalah berbahaya untuk berpindah pada waktu malam. Sila bergerak ke tempat yang selamat sementara cuaca masih terang."

JMA telah memberi amaran bahawa wilayah itu mungkin menghadapi bahaya "belum pernah berlaku sebelum ini" daripada angin kencang, gelombang ribut dan hujan lebat .

"Kawasan yang terjejas oleh ribut menyaksikan jenis hujan yang tidak pernah dialami sebelum ini. Terutama di kawasan bawah amaran tanah runtuh, kemungkinan besar beberapa jenis tanah runtuh sudah berlaku," kata Ketua Pusat Pemantauan dan Amaran Cuaca, Hiro Kato.

Menjelang petang Ahad, hampir 200,000 rumah di seluruh wilayah itu terputus bekalan elektrik. -AFP

(Seorang lelaki berbasikal dalam hujan lebat dan angin yang disebabkan oleh
Taufan Nanmadol di Miyazaki di pulau paling selatan Jepun Kyushu/REUTERS)

Media Baharu