fb fb fb fb fb

Amaran tsunami di Taiwan ditarik balik

(Biro Bomba Daerah Taitung sedang memindahkan mangsa semasa operasi menyelamat di tapak
bangunan runtuh selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud, di perbandaran Yuli/AFP)

TAIPEI, 18 September - Agensi Meteorologi Jepun dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan sejurus selepas gempa bumi kuat berukuran 6.9 pada skala Richter melanda tenggara Taiwan petang tadi.

Gempa berlaku pada 2:44 petang waktu tempatan kira-kira 50 kilometer di utara bandar Taitung pada kedalaman 10 kilometer.

Amaran ditarik balik selepas tiada lagi ancaman gelombang tinggi dikesan.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa kuat itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga bangunan runtuh di sebuah bandar kecil.

Di bandar Yuli di Taiwan, sebuah bangunan dua tingkat yang mempunyai kedai serbaneka di tingkat bawah runtuh.

Jabatan bomba Hualien berkata, empat orang yang terperangkap di dalam bangunan itu berjaya diselamatkan.

Dua bangunan lain di bandar itu runtuh tetapi tiada sesiapa berada di dalamnya. Dua jambatan berhampiran runtuh manakala dua lagi rosak.

(Gempa bumi kuat melanda Taiwan menyebabkan Pusat Amaran Tsunami AS mengeluarkan
amaran selepas gegaran itu/Twitter)

Pentadbiran Kereta Api Taiwan (TRA) berkata sebuah kereta api tergelincir di stesen Dongli di Hualien.

20 penumpang di dalam gerabak berjaya dikeluarkan dan tiada kecederaan dilaporkan.

Gegaran turut dirasai di ibu kota Taipei dan bandar barat daya Kaohsiung.

Presiden Taiwan Tsai Ing-wen menggesa orang ramai supaya berwaspada dengan gegaran susulan selanjutnya dalam beberapa jam akan datang.

"Bekalan air dan elektrik di beberapa kawasan juga terjejas akibat gempa bumi," tulisnya di Facebook. "Kerja bantuan bencana sedang giat dijalankan," tambah beliau. -AFP

Media Baharu