fb fb fb fb fb

Taufan Mocha: Angka korban cecah 145 orang

(FOTO AFP)

YANGON, 19 Mei-Angka korban akibat Taufan Mocha di Myanmar meningkat kepada 145 orang.

Junta tentera negara itu dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata kebanyakan korban taufan berkenaan adalah daripada kaum minoriti Rohingya.

Taufan Mocha membawa hujan lebat dan angin berkelajuan 195 kilometer sejam ke Myanmar dan negara jiran, Bangladesh pada Ahad, meruntuhkan bangunan dan menjadikan jalan menjadi sungai.

Ribut itu yang paling kuat melanda kedua-dua negara dalam tempoh lebih sedekad merosakkan perkampungan, menumbangkan pokok dan memutuskan komunikasi di kebanyakan negeri Rakhine.

Wilayah Rakhine merupakan tempat tinggal kepada ratusan ribu warga Rohingya yang tinggal di kem-kem pemindahan berikutan konflik etnik selama berdekad-dekad.

"Secara keseluruhannya, seramai 145 penduduk tempatan terbunuh semasa taufan itu.

"Ia termasuk empat askar, 24 penduduk tempatan dan 117 Bengalis, merujuk kepada kaum Rohingya" kata kenyataan itu.

Kaum Rohingya yang dianggap sebagai penceroboh dari Bangladesh telah dinafikan hak kewarganegaraan dan akses kepada penjagaan kesihatan oleh pihak junta tentera Myanmar selain memerlukan kebenaran untuk keluar daerah yang berada luar negeri mereka.

Sementara itu, Pihak berkuasa Bangladesh berkata tiada seorang pun rakyatnya yang terkorban akibat taufan tersebut yang melepasi berhampiran kem pelarian yang luas yang menempatkan hampir satu juta pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar pada 2017.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu