TOKYO, 4 Ogos– Taufan Khanun masih berlegar-legar di Laut China Timur pada Jumaat. Namun menurut ramalan ia akan menghampiri pulau Okinawa Jepun sekali lagi dan meningkatkan kebimbangan kerosakan akan berlaku di kawasan tersebut.
Ribut itu semakin lemah tetapi masih membawa angin dengan kelajuan 126 kph dan tiupan sehingga 180 kph, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Ia berlegar kira-kira 270 km di utara-barat laut Pulau Miyako di Okinawa setakat pukul 7.00 pagi tadi waktu tempatan. Khanun diramalkan akan membuat pusingan menuju ke timur pada petang Jumaat seterusnya menuju ke utara pulau-pulau utama Jepun.
Kira-kira 53,000 isi rumah di Okinawa, atau kira-kira lapan peratus berlindung dan kekal terperangkap tanpa bekalan elektrik untuk hari ketiga. Angka itu turun daripada 25% pada Khamis, kata utiliti tempatan Okinawa Electric Power.
Siaran televisyen menunjukkan pelancong yang terkandas di Okinawa berpusu-pusu ke Lapangan Terbang Naha, yang beroperasi semula pada Khamis selepas ditutup selama dua hari. Ramai pelancong berbaris panjang untuk membeli tiket kapal terbang dan meninggalkan pulau itu.
Di utara Taiwan, amaran berkenaan taufan ditarik balik pada Jumaat. Perniagaan serta sekolah yang ditutup pada Khamis akibat taufan itu dibuka semula. Di ibu kota Taipei, lebih 200 pokok dan papan tanda di tepi jalan tumbang namun tiada kerosakan teruk dilaporkan.
Pihak berkuasa, masih dalam keadaan berjaga-jaga berikutan penerimaan hujan merekodkan bacaan 0.5 meter yang berlaku susulan taufan yang melanda negara itu.- REUTERS
(Tangkap layar video orang awam selepas taufan di Nakagami, Okinawa/REUTERS)