MEXICO CITY, 19 Jun- Taufan Erick kini bertambah kuat di luar pantai Pasifik Mexico dan dijangka mencapai kategori 3 sebelum mendarat di kawasan selatan negara itu, menurut pihak berkuasa pada Rabu.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) melaporkan taufan tersebut dijangka menjadi taufan pertama musim ini yang melanda Mexico dan akan menyebabkan banjir kilat yang mengancam nyawa di beberapa bahagian di selatan Mexico mulai lewat malam ini hingga Khamis.
“Kekuatan dijangka berlaku hari ini, dan Erick mungkin mencapai status taufan utama ketika menghampiri pesisir selatan Mexico,” kata pusat itu memberi amaran.
Dengan kelajuan angin berterusan mencecah 140 km/j, Erick kini berada 255 kilometer dari Puerto Angel, sebuah kawasan pelancongan popular yang kini di bawah amaran taufan.
Ketua agensi tersebut, Laura Velazquez, memaklumkan dalam sidang media bersama Presiden Mexico bahawa Erick dijangka mendarat antara negeri Oaxaca dan Guerrero pada hari Khamis.
Sementara itu, menurut NHC, hujan lebat dijangka melanda kawasan terbabit. Kedua-dua negeri telah memulakan perancangan kecemasan dan tindakan pencegahan bersama pihak berkuasa tempatan.
Lebih 18,000 anggota penyelamat dikerahkan dan lebih 500 pusat perlindungan sementara telah diaktifkan.
Usaha pemindahan dan penjagaan turut dipergiat untuk pelancong di destinasi pantai popular seperti Acapulco.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menyeru penduduk agar berada di dalam rumah dan berpindah ke pusat perlindungan, sekiranya tinggal di kawasan berisiko banjir.
Suruhanjaya Air Kebangsaan Mexico (Conagua) turut memberi amaran, hujan lebat di kawasan pesisir berpotensi menyebabkan tanah runtuh dan banjir besar, dengan ombak setinggi hingga enam meter dijangka melanda kawasan pantai.-REUTERS