GAZA, 19 Jun- Angka kematian rakyat Palestin di Gaza kini meningkat kepada 55,637 orang, manakala 129,880 orang lagi cedera.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam lalu, serangan Israel telah meragut 144 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 560 orang.
Situasi di Gaza dilaporkan semakin kritikal dan berbahaya, khususnya bagi orang awam yang mencari bantuan dan perlindungan.
Sekurang-kurangnya 37 rakyat Palestin terbunuh dalam tembakan dan serangan artileri Israel pada Rabu, termasuk 14 orang berhampiran dua pusat bantuan yang disokong Amerika Syarikat, menurut sumber tempatan.
Saksi mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul untuk mendapatkan bantuan berhampiran persimpangan Netzarim di tengah Gaza. Hospital al-Awda di Nuseirat mengesahkan menerima 11 mayat dan merawat lebih 70 orang cedera.
Dalam insiden berasingan, tiga rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan berhampiran satu lagi pusat agihan bantuan yang disokong AS di barat Rafah, kata sumber perubatan.
Sementara itu, di Khan Yunis, lima orang terbunuh apabila dron Israel menyerang khemah-khemah pelarian di kawasan al-Attar, Mawasi, menurut jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal.
Beliau berkata 10 lagi termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara di kem pelarian al-Maghazi, manakala lapan lagi maut dalam serangan terhadap sebuah rumah di kawasan al-Zeitoun, Gaza.
Pengarah Hospital al-Shifa, Dr. Mohammed Abu Salmiya, berkata hospital kini terlalu sesak dan pesakit terpaksa ditempatkan di lantai, koridor, malah di bilik pembedahan. Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai “malapetaka” dan menggesa penduduk supaya menjauhi pusat bantuan yang disokong AS dan menyifatkannya sebagai perangkap maut.- REUTERS