AHMEDABAD, INDIA, 18 Jun- Sekurang-kurangnya 27 orang dilaporkan maut dalam tempoh tiga hari akibat hujan lebat yang melanda bahagian wilayah barat Gujerat, menurut kenyataan pegawai kerajaan negeri pada Rabu.
Pasukan tindak balas bencana dikerahkan bagi menyelamatkan puluhan penduduk yang terperangkap, sementara penduduk lain bersiap sedia menghadapi lebih banyak hujan lebat yang dijangka berlaku pada musim monsun ini.
"Jumlah kematian akibat insiden berkaitan hujan di Gujerat meningkat kepada 27 orang sehingga Rabu, dengan sembilan lagi kematian direkodkan sepanjang hari ini," kata kerajaan negeri dalam satu kenyataan rasmi.
Menurut kenyataan itu, angka tersebut meningkat daripada jumlah kematian yang direkodkan sebelum ini iaitu 18 orang. Kebanyakan kematian terbaharu dilaporkan berpunca daripada kejadian lemas.
Kawasan paling teruk terjejas adalah bandar Palitana dan Jesar, yang masing-masing merekodkan 867 milimeter hujan, dalam tempoh 24 jam lalu.
Pesuruhjaya Bantuan Negeri, Alok Kumar Pandey, berkata 18 kematian pertama berpunca daripada ribut, petir dan runtuhan struktur akibat cuaca buruk.
"Negeri ini bersiap siaga sepenuhnya untuk mengendalikan situasi ini. Penyelarasan antara jabatan sedang dipertingkat bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan," kata Pandey.
Mangsa yang berjaya diselamatkan termasuk 18 pekerja ladang yang terperangkap di kebun mangga di kawasan Gadhada serta 22 penduduk di daerah Surendranagar selepas rumah mereka dinaiki air akibat limpahan sungai.
Musim monsun tahunan India yang berlaku dari Jun hingga September lazimnya memberikan kelegaan daripada musim panas yang melampau, selain penting untuk bekalan air negara.
Bagaimanapun, puluhan nyawa terkorban setiap tahun semasa monsun ini akibat banjir kilat dan tanah runtuh di seluruh India.-AFP