GAZA, 18 Jun- Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di Gaza pada Rabu.
Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata 11 orang terbunuh dan lebih 100 cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ketika beribu-ribu warga Palestin berkumpul di tengah Gaza untuk mendapatkan makanan.
"Pasukan pendudukan melepaskan tembakan dan melancarkan beberapa peluru ke arah orang awam," katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa lebih 100 orang turut cedera dalam insiden berkenaan.
Israel mengenakan sekatan penuh ke atas Gaza pada Mac lalu, susulan kegagalan rundingan gencatan senjata, sebelum melonggarkan sekatan secara berperingkat bermula akhir Mei.
Namun, suasana kekacauan dan insiden berdarah terus berlaku di kawasan pengagihan bantuan, termasuk berhampiran pusat bantuan di Khan Yunis pada Selasa yang menyaksikan 53 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan tepung gandum, menurut agensi berkenaan.
Sementara itu, 19 lagi penduduk Palestin terbunuh dalam tiga serangan berasingan yang menyasarkan kediaman dan khemah pelarian, manakala tiga lagi maut dalam serangan udara di kawasan timur laut Gaza.
Dalam kejadian berasingan, tiga lagi terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan kejiranan timur laut Gaza pada hari Rabu, kata Bassal.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan korban di Gaza sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023, mencecah 55,637 orang.-AFP