fb fb fb fb fb

Taufan Doksuri badai utara Filipina

(Foto AFP)

MANILA, 25 Julai- Taufan Doksuri membadai kawasan di utara Filipina, pada Selasa, mencetuskan arahan pemindahan kepada penduduk yang tinggal di pesisir pantai.

Menurut biro cuaca, taufan itu membawa angin dengan kelajuan maksimum 185 kilometer sejam ketika ia bergerak menuju tiga pulau berhampiran Pulau Luzon.

Doksuri yang digelar 'Egay' di Filipina, dijangka membadai atau melintasi kawasan berhampiran Pulau Babuyan atau wilayah di timur Cagayan, menjelang tengah hari esok.

Taufan itu dijangka membawa hujan melebihi 200 milimeter hujan di pulau-pulau dan bahagian utara wilayah Cagayan, Apayao dan Ilocos Norte.

Sementara itu, Pegawai Bencana Tempatan, Charles Castillejos berkata masyarakat pesisir pantai di pulau-pulau itu telah diarah meninggalkan kediaman, selain nelayan tidak dibenarkan ke laut.

"Kami menghantar polis untuk meyakinkan mereka yang masih berdegil dan enggan berpindah," kata Castillejos kepada AFP.

(Petani membawa lembu mereka ke tempat yang lebih selamat di bandar Ilagan, wilayah
Isabela, utara Manila pada 25 Julai 2023, ketika Taufan Doksuri menuju ke utara Filipina/Foto AFP)

Agensi cuaca dalam amaran turut memaklumkan lonjakan ribut lebih tiga meter boleh melanda di beberapa kawasan rendah.

Hujan lebat dijangka merentasi wilayah pergunungan utara dalam beberapa hari akan datang, dengan tanah runtuh "berkemungkinan berlaku", tambahnya.

Secara purata, Filipina dilanda 20 ribut besar setiap tahun yang membunuh beratus-ratus orang.-AFP

Media Baharu