fb fb fb fb fb

Taufan Barbara gegar pantai barat Mexico, dijangka mula lemah

Foto Reuters

MEXICO CITY, 10 Jun- Taufan Barbara muncul sebagai taufan pertama musim ini di timur Pasifik apabila ia menguat sambil bergerak sejajar ke arah pantai barat Mexico, menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (CNH) pada Isnin.

Menurut laporan terkini CNH pada pukul 2.00 petang waktu tempatan, sistem siklon tropika itu berada kira-kira 245 kilometer di barat daya Manzanillo, di negeri Colima, Mexico dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 17 kilometer sejam, diikuti kelajuan angin maksimum berterusan sekitar 120 kilometer sejam.

CNH meramalkan taufan itu akan mula menunjukkan kecenderungan melemah, hari ini (10 Jun).

Sementara itu, Suruhanjaya Air Kebangsaan Mexico (Conagua) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kesan jalur awan Taufan Barbara dijangka menyebabkan hujan lebat di negeri Jalisco, Colima dan Michoacán manakala hujan sederhana di Nayarit.

Keadaan tersebut turut disertai angin kencang serta ombak besar di kawasan-kawasan terlibat.

Conagua turut memberi amaran bahawa hujan berterusan berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh, peningkatan paras sungai dan anak sungai, limpahan air serta banjir di kawasan tanah rendah di negeri-negeri berkenaan.

CNH sebelum ini meramalkan sepanjang musim taufan yang bermula pertengahan Mei hingga awal Jun dan berakhir pada November, sebanyak 9 hingga 15 taufan dijangka berlaku di Atlantik manakala antara 7 hingga 15 taufan di timur Pasifik.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM