fb fb fb fb fb

Terkini : Aktivis flotila diusir, Israel ancam kenakan tindakan jika enggan pulang ke negara asal

Aktivis flotila kemanusiaan ketika ditahan tentera Zionis. - Foto AFP

BAITULMAQDIS, 10 Jun - Kementerian Luar Israel memaklumkan, aktivis dari flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza yang menaiki kapal layar Madleen telah dibawa ke Lapangan Terbang Ben Gurion untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.

Menerusi hantaran di laman X awal pagi ini, Israel yang memanggil kapal layar tersebut dengan jolokan "Selfie Yacth" berkata, mereka akan berangkat dalam tempoh beberapa jam lagi.

"Penumpang 'Selfie Yacht' yang enggan menandatangani dokumen pengusiran dan meninggalkan Israel akan dibawa ke hadapan pihak berkuasa kehakiman," menurut hantaran itu.

Dakwa pihak kementerian, konsulat daripada negara-negara terlibat telah dibenarkan bertemu dengan kesemua 12 kru kapal tersebut.

Semalam, tentera rejim zionis dilaporkan telah memintas dan menahan kapal layar Madleen yang dalam perjalanan ke Tebing Gaza.

Kumpulan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang mengendalikan pelayaran itu berkata, pihaknya sudah terputus hubungan dengan kapal membawa 12 individu termasuk seorang wartawan.

Setelah itu, Kementerian Luar Israel berkongsi di laman X imej pertama aktivis iklim, Greta Thunberg di Pelabuhan Ashdod selepas kapal layar itu dipintas.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM