fb fb fb fb fb

Penahanan aktivis flotila, Perancis hubungi Israel

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Sidang Kemuncak Lautan PBB. - Foto AFP

NICE, 10 Jun - Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, pihaknya telah berhubung dengan Israel berhubung penahanan enam warganya yang berada di atas kapal layar, Madleen yang sedang membawa sejumlah simbolik bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Flotila tersebut telah dirampas tentera Zionis dalam misi pelayaran mereka dalam membuka laluan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan seterusnya meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu.

Bercakap semasa sidang akhbar di Sidang Kemuncak Lautan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Nice, Macron mengulangi gesaan untuk melaksanakan segera gencatan senjata di Gaza dan untuk menamatkan sekatan kemanusiaan dan menyifatkannya sebagai "memalukan".

Minggu lalu, penyiar rasmi Israel melaporkan yang Tel Aviv menarik balik keputusan awal untuk membenarkan kapal itu berlayar.

Kelulusan ditarik balik atas alasan ia boleh menjadi contoh untuk misi bantuan kemanusiaan pada masa hadapan.

Kapal itu membawa bekalan penting yang sangat diperlukan oleh penduduk Gaza, termasuk susu formula bayi, tepung, beras, lampin pakai buang, produk kebersihan wanita, kit penyahgaraman air, bekalan perubatan, tongkat dan anggota palsu kanak-kanak, menurut Jawatankuasa Antarabangsa Untuk Tamatkan Kepungan ke atas Gaza selaku penganjur misi tersebut.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM