LONDON, 10 Jun - Rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memfokuskan jalan terbaik untuk menyelesaikan perbalahan antara dua kuasa ekonomi dunia itu berhubung tarif, sekatan eksport dan bekalan logam nadir bumi.
Masuk hari kedua hari ini, Presiden Donald Trump turut melahirkan keyakinan bahawa rundingan kali ini bakal membuahkan hasil.
“Laporan awal daripada pasukan saya sangat memberangsangkan. Saya percaya kita semakin hampir ke arah persetujuan yang memberi manfaat kepada rakyat Amerika," kata Trump dalam satu sidang media di Washington.
Sesi rundingan tersebut hadir selepas sesi rundingan awal pada Mei di Geneva kelihatan positif, menyaksikan sedikit kelonggaran terhadap eksport China bagi beberapa bahan mentah strategik.
Delegasi AS diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, bersama Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer.
Manakala, China diwakili oleh Naib Perdana Menteri He Lifeng dan beberapa pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan.
Perbincangan tertumpu kepada isu eksport logam nadir bumi yang amat penting dalam pembuatan cip semikonduktor dan kenderaan elektrik, sektor yang kini menjadi pertaruhan utama dalam perebutan dominasi teknologi global.
“Kami melihat rundingan ini sebagai peluang penting untuk menetapkan semula hubungan perdagangan dengan China berdasarkan keadilan dan kepastian,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam satu kenyataan ringkas.
Sementara itu, seorang pegawai kanan China memberitahu media bahawa Beijing sedia mempertimbangkan kelonggaran kawalan eksport sekiranya Washington menunjukkan komitmen yang sama, termasuk menarik balik tarif tambahan dan menghentikan sekatan ke atas syarikat teknologi China.