BOGOTA, 10 Jun – Presiden Colombia, Gustavo Petro, mendakwa bahawa bilangan pengawal keselamatan calon presiden konservatif, Miguel Uribe, telah dikurangkan sebelum beliau ditembak dalam serangan mengejutkan pada Sabtu lalu.
Uribe, seorang senator konservatif berusia 39 tahun, sedang bertarung nyawa selepas ditembak dua kali di kepala oleh seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa sebagai pembunuh upahan.
Serangan berani itu mengejutkan rakyat Colombia dan mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai dalang sebenar kejadian.
Polis mengesahkan senjata jenis Glock yang digunakan dalam serangan tersebut dibeli secara sah di Arizona, Amerika Syarikat pada tahun 2020.
Walaupun seluruh Colombia sedang berkabung, Petro mencetuskan ketegangan politik apabila beliau mendakwa penurunan jumlah pengawal Uribe dari tujuh kepada tiga pada hari kejadian adalah sesuatu yang mencurigakan.
Beliau juga menyeru siasatan penuh dijalankan.
Petro menuduh lawan politiknya cuba mempolitikkan insiden tersebut dan mendakwa dirinya turut menjadi sasaran konspirasi oleh "kuasa gelap" dan neo-Nazi yang merancang penculikan dengan melibatkan agensi risikan luar Israel, Mossad.
Ketua Unit Perlindungan Nasional Colombia, Augusto Rodriguez yang juga sekutu rapat Petro dan bekas gerila M-19 – mengesahkan bahawa hanya tiga ejen dan empat anggota polis mengiringi Uribe pada hari kejadian, kurang daripada kebiasaanya yang melibatkan tujuh pengawal dan dua kenderaan perisai.
Rodriguez turut menjelaskan bahawa sebahagian pasukan telah keletihan selepas bertugas dalam tempoh sangat lama pada hari sebelumnya, menyebabkan kekurangan anggota di lokasi kejadian.
Namun, beliau menegaskan tanggungjawab koordinasi keselamatan terletak pada pegawai polis.
Sementara itu, peguam kepada Uribe telah memfailkan aduan jenayah terhadap Rodriguez, mendakwa lebih 20 permintaan untuk meningkatkan keselamatan anak guamnya telah diabaikan.
Petro walau bagaimanapun telah menyertai pemimpin dari pelbagai parti dalam mengutuk serangan terhadap Uribe, sambil menolak tuduhan bahawa beliau mencetuskan iklim politik yang merangsang keganasan.-AFP.