fb fb fb fb fb

Pasaran saham Asia terus kukuh susulan rundingan AS - China

Gambar hiasan

HONG KONG, 10 Jun - Pasaran saham Asia terus mencatatkan peningkatan pagi ini susulan sesi terbaharu rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) - China yang memasuki hari kedua, dengan salah seorang penasihat utama Donald Trump menyatakan bahawa beliau menjangkakan akan berlaku "pencapaian yang hebat dan kukuh".

Terdapat keyakinan bahawa rundingan tersebut akan membawa kestabilan kepada pasaran serta meredakan ketegangan antara dua kuasa ekonomi utama dunia itu.

Kenaikan dalam ekuiti Asia adalah lanjutan daripada lonjakan yang berlaku pada hari Isnin dan juga dipacu oleh prestasi positif di Wall Street, di mana indeks S&P 500 semakin menghampiri paras tertinggi yang pernah dicapai awal tahun ini.

Tokyo mendahului kenaikan dalam pasaran Asia, diikuti oleh Hong Kong, Shanghai, Sydney, Seoul, Singapura, Taipei, Wellington dan Jakarta yang turut mencatatkan peningkatan ketara.

Mesyuarat rundingan yang diadakan di London bertujuan untuk menjernihkan semula hubungan selepas Trump menuduh Beijing melanggar persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat pegawai tertinggi di Geneva bulan lalu.

Namun pada akhirnya kedua-dua pihak bersetuju untuk mengurangkan tarif timbal balas.

Isu utama yang dijangka dibincangkan dalam rundingan tersebut ialah eksport mineral nadir bumi yang digunakan dalam pelbagai produk termasuk telefon pintar dan bateri kenderaan elektrik.

“Di Geneva, kita telah bersetuju untuk mengurangkan tarif ke atas barangan tersebut, dan mereka telah bersetuju untuk menyalurkan bekalan magnet dan nadir bumi yang diperlukan oleh ekonomi kita secara menyeluruh,” kata penasihat ekonomi tertinggi Trump, Kevin Hassett kepada CNBC pada hari Isnin.

Walaupun Beijing telah mula meluluskan sebahagian bekalan, prosesnya jauh lebih perlahan daripada apa yang dianggap optimum oleh sesetengah syarikat.

"Susulan daripada tindakan itu, pentadbiran Trump mungkin bersedia untuk melonggarkan beberapa sekatan terkini ke atas eksport teknologi,"katanya lagi.

Para pelabur juga sedang menantikan data inflasi utama AS minggu ini, yang mungkin mempengaruhi dasar monetari Rizab Persekutuan di tengah-tengah amaran bahawa tarif yang dikenakan oleh Trump akan meningkatkan semula inflasi sekali gus menguatkan hujah agar kadar faedah dikekalkan.

Namun, bank pusat itu berdepan tekanan daripada presiden untuk menurunkan kadar faedah, dengan keputusan dijangka dibuat dalam mesyuarat minggu hadapan.

Dalam masa sama, mereka turut memberi amaran bahawa perang perdagangan global semasa yang digabungkan dengan pemotongan perbelanjaan besar-besaran oleh kerajaan AS menyebabkan kemungkinan inflasi negara itu akan lebih tinggi seterusnya menjejaskan perbelanjaan pengguna tempatan sehingga membawa kepada penyusutan ekonomi global selama beberapa suku tahun.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM