PARIS, 10 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, perlu memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa “cukup-cukuplah”, kata bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dalam satu temu bual bersama AFP.
Beliau memberi respon berkenaan sambil mengutuk tindakan tentera Israel di bawah pentadbiran Netanyahu yang secara terus menerus melancarkan perang di Gaza, sebagai satu “jenayah” dan menegaskan bahawa penyelesaian dua negara merupakan satu-satunya jalan untuk menamatkan konflik tersebut.
Ehud Olmert, yang menjadi Perdana Menteri dari tahun 2006 hingga 2009 menyeru Trump agar menasihati Netanyahu kerana AS mempunyai pengaruh yang besar ke atas kerajaan Israel melebihi semua kuasa lain dan mampu membawa perubahan.
"Netanyahu gagal sepenuhnya sebagai pemimpin kerana tidak berjaya menghalang serangan pada 7 Oktober 2023 oleh kumpulan pejuang Hamas yang akhirnya mencetuskan perang," ujarnya.
Beliau menyatakan, walaupun komuniti antarabangsa menerima hak Israel untuk mempertahankan diri selepas 7 Oktober, persepsi itu berubah apabila Netanyahu menolak peluang untuk menamatkan perang pada bulan Mac, malah sebaliknya meningkatkan lagi operasi ketenteraan.
"Bagi saya, Netanyahu mempunyai kepentingan peribadi yang diutamakan berbanding kepentingan nasional,” tuduh Olmert.
Penganalisis menjangkakan, Netanyahu tidak akan hentikan perang kerana bimbang anggota berhaluan kiri dalam gabungannya akan menarik diri, seterusnya menyebabkan kerajaannya runtuh dan pilihan raya akan diadakan.
“Jika terdapat perang yang tidak menyelamatkan tebusan, yang tidak benar-benar dapat menghapuskan lebih daripada apa yang telah dilakukan terhadap Hamas, dan jika akibatnya, askar terbunuh, tebusan mungkin terbunuh, dan rakyat Palestin yang tidak bersalah juga terbunuh, maka pada pandangan saya ini adalah satu jenayah,” kata Olmert.
"Trump sepatutnya memanggil Netanyahu ke Pejabat Oval dan di hadapan kamera dan berkana, Bibi: cukup-cukuplah,” kata beliau sambil menggunakan nama panggilan Netanyahu.
“Saya berharap beliau (Trump) akan melakukannya. Saya tidak tahu jika ia akan berlaku. Kita hanya perlu berharap dan memberi galakkan kepada beliau,” tambah Olmert.
Bersama bekas Menteri Luar Palestin, Nasser Al-Qidwa, Olmert kini sedang mempromosikan satu pelan untuk menamatkan konflik berdekad-dekad antara Israel dan Palestin dengan mewujudkan sebuah negara Palestin yang wujud bersama Israel yang selamat.
Menurut pelan itu, kedua-dua pihak akan bertukar 4.4 peratus tanah antara satu sama lain, dengan Israel menerima sebahagian wilayah Tebing Barat yang telah diduduki oleh penempatan Yahudi, dan negara Palestin masa hadapan menerima wilayah yang kini merupakan sebahagian daripada Israel.