fb fb fb fb fb

Taufan Ampil: Jepun batal ratusan penerbangan, perkhidmatan kereta api

Ratusan pengangkutan awam di Jepun meliputi penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan hari ini akibat risiko taufan Ampil/ AFP

TOKYO, 15 Ogos- Ratusan pengangkutan awam di Jepun meliputi penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan hari ini akibat risiko taufan Ampil, menjelang cuti panjang bersempena perayaan 'obon' di negara itu.

Beberapa hari selepas Ribut Tropika Maria yang menyebabkan hujan lebat, kini taufan Ampil dikesan menyusuri wilayah Tokyo, kawasan didiami hampir 40 juta orang dan dijangka melanda pantai Pasifik, esok dan Sabtu ini.

Syarikat penerbangan All Nippon Airways (ANA) membatalkan kira-kira 280 penerbangan domestik yang dijadualkan pada Jumaat, sekali gus bakal menjejaskan lebih 60,000 penumpang.

Manakala, Japan Airlines membatalkan 191 perkhidmatan domestik dan 26 antarabangsa, membabitkan 38,600 penumpang.

Rangkaian perkhidmatan kereta api laju Jepun dibatalkan esok, termasuk di bahagian sibuk antara Tokyo dan pusat bandar Nagoya.

Pada pukul 9.00 pagi (waktu tempatan), taufan Ampil berada 300 kilometer (km) dari pulau terpencil Chichijima di Pasifik dan membawa angin ribut berkelajuan sehingga 180km sejam.

Sementara itu, Menteri Pengurusan Bencana, Yoshifumi Matsumura menerusi satu taklimat kecemasan, menggesa orang ramai untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga.

Agensi cuaca pula memberi amaran kepada penduduk di bahagian timur berhubung kemungkinan berlakunya ribut, banjir, limpahan air sungai dan tanah runtuh.

Jepun kerap mengalami taufan besar yang boleh menyebabkan tanah runtuh yang membawa maut.-AFP

ROSLINA BINTI DIN