fb fb fb fb fb

Penyelidik Peru temui rangka manusia berusia lebih 3,000 tahun

Foto REUTERS

LIMA, 15 Ogos-Sekumpulan penyelidik Peru berjaya menemui empat rangka manusia yang dipercayai berusia lebih daripada 3,000 tahun disebuah kawasan tandus di utara negara berkenaan.

Kawasan berkenaan turut menempatkan sebuah kuil keagamaan bagi menghormati dewa-dewa purba tempatan.

Rangka-rangka berkenaan ditemukan di antara beberapa dinding lumpur dan batu berhampiran sebuah lembah di wilayah Viru yang kering di wilayah La Libertad, Peru, yang merupakan kawasan yang mempunyai banyak budaya purba utama selama ribuan tahun.

Feren Castillo, seorang ahli arkeologi di Universiti Nasional Trujillo di Peru yang mengetuai projek penyelidikan di kawasan itu, berkata rangka dan dinding tersebut mungkin berusia antara 3,100 hingga 3,800 tahun.

"Ini membolehkan kita memahami dengan lebih jelas evolusi budaya di kawasan ini," kata Castillo, sambil menambah bahawa penemuan empat rangka di ruang yang begitu kecil mungkin menunjukkan terdapat lebih banyak artifak yang tertanam di kawasan tersebut.

"Ini juga menunjukkan kepentingan ruang tersebut. Masyarakat di kawasan ini telah lama ingin dikebumikan di kuil kerana ia adalah tempat yang sangat suci bagi mereka," tambah Castillo.

Peru, yang kaya dengan tapak arkeologi dari pelbagai zaman, merupakan lokasi utama kepada empayar Inca lebih daripada 500 tahun yang lalu.

Empayar ini menguasai wilayah yang luas di bahagian selatan benua dari selatan Ecuador, Colombia hingga ke tengah Chile sehinggalah kedatangan penakluk Sepanyol.

Penyelidik di La Libertad bulan lalu mengumumkan penemuan rangka 11 orang "kelas elit " yang dipercayai berusia 800 tahun.

Penemuan tersebut dilakukan berhampiran Chan Chan, kota lumpur terbesar di Amerika Selatan yang dibina oleh budaya Chimu, memerintah sebahagian besar kawasan pantai utara Peru.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD