LOS ANGELES, 17 April- California memfailkan saman terhadap kerajaan persekutuan dengan mendakwa Presiden Donald Trump tidak berhak mengenakan tarif import yang tinggi.
Gabenor California Gavin Newsom berkata, dasar itu merosakkan ekonomi dan rakyat biasa yang menanggung kesannya.
Tindakan itu merupakan penentangan paling tegas setakat ini terhadap pelaksanaan tarif yang telah menyebabkan pasaran saham global bergolak, dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan perniagaan di seluruh Amerika Syarikat tentang ketidaktentuan ekonomi.
"Ia adalah kesilapan paling besar dalam sejarah negara ini. Salah satu tindakan paling merosakkan diri sendiri yang pernah kita saksikan dalam sejarah moden Amerika", katanya.
Tindakan undang-undang menjelaskan bahawa Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), yang digunakan oleh Trump untuk mengenakan tarif setinggi 145 peratus, tidak memberikan beliau kuasa untuk mengenakan tarif ke atas barangan import.
Peguam Negara Rob Bonta menegaskan, hanya Kongres berkuasa menetapkan tarif, bukannya presiden.
Jika dasar ini diteruskan, California berisiko kehilangan berbilion dolar hasil perdagangan.
Tuntutan mahkamah ini bertujuan memastikan tindakan Trump dibatalkan.
"Kami meminta mahkamah untuk mengehadkan kuasa presiden dan menegakkan Perlembagaan," kata Rob Bonta kepada media.
Dengan populasi 40 juta orang dan ekonomi berskala besar yang menyumbang 14 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS, California dijangka akan menanggung sebahagian besar beban ekonomi akibat perubahan dasar tersebut.
Menurut kenyataan dari Pejabat Newsom, California yang akan menjadi ekonomi kelima terbesar dunia jika ia merupakan negara berdaulat, mungkin kehilangan berbilion dolar hasil pendapatan jika dasar tarif Trump mengurangkan perdagangan antarabangsa.
Trump menganggap tarif sebagai alat untuk mencapai matlamatnya yang dikatakan penting bagi mengimbangi semula hubungan perdagangan Amerika, dan berikrar semasa kempen pilihan raya bahawa beliau akan mengenakan cukai tambahan ke atas import.
Kes ini adalah yang terbaharu, daripada berpuluh-puluh tuntutan undang-undang yang telah difailkan oleh California terhadap pentadbiran Trump.-AFP