fb fb fb fb fb

Lubnan, Qatar tegas perkukuh hubungan, sokong Palestin, Syria

Foto REUTERS

BEIRUT/ ISTANBUL, 17 April- Lubnan dan Qatar pada Rabu menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan dua hala serta mengulangi sokongan terhadap Palestin dan Syria, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kenyataan bersama dikeluarkan pada akhir lawatan dua hari Presiden Lubnan Joseph Aoun ke Doha yang merangkumi perbincangan dengan Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Kedua-dua pihak menyatakan kesungguhan untuk “memperdalam dan memperkukuh hubungan dalam semua bidang demi kepentingan kedua-dua negara dan rakyat, menyelaras pendirian dalam isu-isu utama, serta menangani hal ehwal serantau melalui dialog dan diplomasi.”

Agensi Berita Nasional Lubnan, NNA, melaporkan Emir Qatar mengulangi sokongan negaranya terhadap negara dan angkatan tentera Lubnan.

Beliau turut mengumumkan pembaharuan geran Qatar sebanyak US$60 juta bagi menyokong pembayaran gaji tentera, selain 162 kenderaan tentera bagi membantu pasukan itu melaksanakan tugas menjaga kestabilan dan keselamatan sempadan negara.

Lubnan kini berdepan krisis kewangan serius sejak 2019, dengan mata wang negara itu menyusut lebih 98 peratus daripada 1,500 kepada purata 90,000 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Mengenai isu serantau, Lubnan dan Qatar menegaskan “sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hak sah rakyat Palestin, khususnya penubuhan sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, selaras dengan Inisiatif Keamanan Arab dan resolusi sah antarabangsa berkaitan.”

Kedua-dua negara turut mengulangi “sokongan terhadap perpaduan, kedaulatan dan kemerdekaan Syria,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA-ANADOLU

 

ROSLINA BINTI DIN