fb fb fb fb fb

WTO beri amaran ekonomi Amerika Utara bakal merosot akibat tarif Trump

Foto hiasan/ REUTERS

GENEVA, 16 April- Analisis mengikut rantau oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menunjukkan bahawa tarif baharu akan memberi kesan paling besar kepada Amerika Syarikat dan Kanada, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Selain penyusutan jumlah dagangan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut dijangka terjejas. Dalam laporan yang diterbitkan di Geneva pada Rabu, WTO mengunjurkan pertumbuhan KDNK bagi rantau Amerika Utara - merangkumi AS dan Kanada - hanya sebanyak 0.4 peratus tahun ini, jauh merosot daripada anggaran awal sebanyak dua peratus.

Eksport dari Amerika Utara dijangka menyusut sebanyak 12.6 peratus pada 2025, manakala import pula menurun sebanyak 9.6 peratus, menurut WTO.

Sebelum pengumuman tarif oleh Presiden AS Donald Trump, WTO menjangkakan eksport rantau itu meningkat 2.2 peratus dan import naik 2.8 peratus. Eksport China ke AS pula kini dijangka merosot sebanyak 77 peratus di bawah senario semasa.

Kesan terhadap Eropah dilaporkan jauh lebih ringan. WTO mengunjurkan eksport Eropah meningkat satu peratus tahun ini (berbanding 1.4 peratus sebelum ini), manakala import dijangka naik 1.9 peratus (sebelum ini 2.1 peratus). Pertumbuhan KDNK Eropah kini diunjurkan pada 1.2 peratus, menurun daripada 1.4 peratus.

Analisis WTO ini berdasarkan situasi semasa setakat 14 April. Sejak kembali ke White House, Trump telah mengumumkan pelbagai tarif baharu ke atas beberapa negara dan sektor, walaupun sebahagiannya telah digantung. China kekal sebagai sasaran utama.

Jika senario semasa berterusan, WTO menjangka jumlah dagangan global akan menyusut sebanyak 0.2 peratus, berbanding unjuran pertumbuhan 2.7 peratus sebelum ini. Jika tarif khusus negara yang digantung itu dikuatkuasakan selepas tempoh bertenang 90 hari yang diumumkan pada 9 April - berserta tindakan balas negara terlibat - jumlah dagangan global boleh merosot sehingga 1.5 peratus.

KDNK global kini dijangka berkembang sebanyak 2.2 peratus pada 2025, berbanding unjuran terdahulu WTO sebanyak 2.8 peratus.- BERNAMA-dpa

 

ROSLINA BINTI DIN