MADRID, 12 April- Penduduk Madrid, Sepanyol menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengenakan “tarif timbal balik” ke atas rakan dagang, sambil menyatakan bahawa perang tarif itu akhirnya akan memberi kesan kepada semua negara, termasuk AS sendiri.
Tindakan terbabit menerima bantahan meluas di seluruh dunia.
Ramai penduduk Madrid mengecam keputusan Trump itu kerana mereka percaya ia akan memudaratkan semua pihak.
“Perang dagang yang dilancarkan oleh AS akhirnya akan memberi kesan kepada semua orang. Sekarang pun harga barang sudah tinggi, tapi masih terus naik. Kita sebagai rakyat biasa yang paling terkesan. Akhirnya, orang awam yang akan menanggung akibat paling besar,” kata penduduk tempatan, Luis.
“Saya rasa idea Trump ini terlalu melampau. Saya percaya lama-kelamaan, keadaan akan kembali pulih seperti sediakala,” ujar seorang lagi penduduk, Paco.
“Langkah Trump sangat teruk, bukan saja buruk untuk negara lain, malah untuk AS sendiri. Banyak alat ganti kenderaan yang dibuat di AS pun bergantung pada import. Jadi, ini bukan sesuatu yang baik untuk sesiapa pun,” kata penduduk Madrid, Felix.
Trump minggu lalu mengumumkan pelaksanaan tarif berkenaan ke atas sebahagian besar rakan dagang, dengan mendakwa langkah yang telah mencetuskan ketidaktentuan pasaran global serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kemelesetan ekonomi tersebut akan menjadikan ekonomi terbesar dunia itu “kaya semula”.- REUTERS