fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di Vietnam: Enam penumpang bas maut, 18 cedera

Foto AFP

HANOI, 17 November - Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala 18 lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa 32 penumpang tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Lebuhraya Khanh Le, tengah Vietnam pada Ahad.

Kejadian berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan dari laluan yang menghubungkan bandar peranginan Da Lat dan Nha Trang.

Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu dipercayai mencetuskan runtuhan tanah dan batuan besar dari lereng bukit ketika bas berkenaan dalam perjalanan menuruni cerun.

Beberapa mangsa cedera kini menerima rawatan di hospital tempatan, manakala pasukan penyelamat giat menjalankan operasi menyelamat penumpang yang masih terperangkap dengan dua daripadanya dilaporkan tersepit dalam bas terbabit.

Menurut pihak berkuasa bencana, sebelum itu kejadian tanah runtuh di laluan Khanh Son meragut satu lagi nyawa, manakala seorang lagi dilaporkan hilang.

Terdahulu pada Jumaat, tiga individu turut dilaporkan hilang akibat insiden tanah runtuh di bandar berdekatan Danang.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai mengelakkan perjalanan ke kawasan berisiko tinggi dan memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang. - AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP