TOKYO, 17 November — Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, terus mencatatkan tahap sokongan yang kukuh berdasarkan dua tinjauan pendapat yang dikeluarkan pada Isnin, meskipun negara itu berdepan ketegangan diplomatik dengan China serta pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Menurut tinjauan yang dijalankan akhbar Asahi Shimbun, kabinet Takaichi memperoleh 69 peratus kadar kelulusan, manakala 17 peratus responden tidak bersetuju dengan pentadbiran beliau.
Tinjauan berasingan oleh Kyodo News yang dikeluarkan pada Ahad turut melaporkan dapatan hampir sama, dengan 69.9 peratus kadar kelulusan, manakala 16.5 peratus tidak bersetuju.
Takaichi, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun pada 21 Oktober, menggantikan Shigeru Ishiba selepas beberapa siri kekalahan pilihan raya yang menjejaskan kepimpinan beliau.
Perdana menteri berusia 64 tahun itu memulakan pentadbirannya dengan jadual kerja yang padat, termasuk menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta menghadiri dua sidang kemuncak serantau di Malaysia dan Korea Selatan yang turut melibatkan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping.
Kenyataan Takaichi mengenai Taiwan semasa sesi Parlimen pada 7 November mencetuskan bantahan daripada Beijing, yang meminta penjelasan dan menasihati rakyat China supaya tidak melancong ke Jepun.
Isu ekonomi kekal menjadi cabaran utama pentadbiran baharu, dengan data rasmi terkini menunjukkan ekonomi Jepun menguncup pada suku ketiga.
Kerajaan pimpinan beliau sedang merangka pakej rangsangan melebihi 17 trilion yen (AS$110 bilion) yang dijangka dimuktamadkan minggu ini.- AFP