PEKALONGAN, 23 Januari- Jumlah mangsa korban akibat tanah runtuh di Pulau Jawa meningkat kepada 21 orang, dengan lima lagi masih hilang pada Khamis, menurut pegawai.
Pasukan penyelamat kini berdepan cabaran cuaca buruk dan masa bagi mencari mangsa yang terselamat.
Hujan lebat yang melanda kawasan pergunungan berhampiran kota Pekalongan, Jawa Tengah pada Isnin lalu mencetuskan tanah runtuh yang meruntuhkan jambatan serta menimbus kereta dan rumah.
“Setakat pagi ini, kami telah menemui 21 mangsa yang meninggal dunia dan lima lagi masih dalam pencarian,” kata Budiono, ketua agensi mencari dan menyelamat dari Semarang, kepada AFP.
Jentera berat telah dikerah ke kawasan terjejas teruk di Kampung Kasimpar untuk mencari di tapak rumah seorang pegawai tempatan serta sebuah kafe yang dipercayai menempatkan lebih ramai mangsa yang berlindung daripada hujan.
“Kami memberi tumpuan kepada dua lokasi itu dan sungai berhampiran. Mangsa mungkin dihanyutkan ke sungai akibat arus deras,” jelas Budiono.
Menurut agensi mencari dan menyelamat, Basarnas, sekurang-kurangnya 13 orang turut cedera dalam kejadian itu.
Pasukan penyelamat juga telah memulakan kerja pembersihan lumpur tebal dan serpihan yang menutup jalan raya.
Indonesia sering dilanda tanah runtuh semasa musim hujan antara November hingga April.
Bagaimanapun, beberapa bencana cuaca buruk turut berlaku di luar musim tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perubahan iklim juga telah meningkatkan intensiti ribut, yang menyebabkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan angin kencang.- AFP