fb fb fb fb fb

Pencemaran udara: 200 sekolah di Bangkok ditutup

Foto REUTERS

BANGKOK, 23 Januari-Kira-kira 200 buah sekolah terpaksa ditutup pada Khamis akibat pencemaran udara, menurut pihak berkuasa tempatan.

Awal minggu ini, pihak berkuasa Bangkok menyatakan bahawa sekolah-sekolah di kawasan yang mencatatkan tahap PM2.5 yang tinggi boleh memilih untuk menutup sekolah berkenaan.

Pada Jumaat, sebanyak 194 daripada 437 sekolah di bawah pentadbiran Bangkok Metropolitan Authority (BMA) telah menutup sekolah sekali gus menjejaskan ribuan pelajar.

Penutupan tersebut merangkumi tadika hingga sekolah menengah dan berlangsung selama seminggu.

Angka tersebut merupakan jumlah penutupan sekolah tertinggi sejak 2020, apabila semua sekolah di bawah pentadbiran BMA ditutup akibat pencemaran udara.

Terdahulu, pihak berkuasa Thailand menggalakkan orang ramai untuk bekerja dari rumah.

Namun, inisiatif tersebut adalah secara sukarela.

Masalah pencemaran udara bermusim telah lama melanda Thailand, sama seperti banyak negara lain di rantau ini, apabila udara musim sejuk dan statik bergabung dengan asap akibat pembakaran jerami tanaman serta asap kenderaan.

Kerajaan Thailand telah mengumumkan insentif untuk menghentikan pembakaran jerami tanaman, malah mencuba kaedah baharu untuk menangani pencemaran udara dengan menyembur air sejuk atau ais kering ke udara di atas jerebu.

Namun, langkah-langkah itu setakat ini tidak memberikan kesan yang ketara, dan ahli politik pembangkang menuduh Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, tidak mengambil isu berkenaan dengan serius.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD