HANOI, 23 Januari- Polis Vietnam menahan lima individu dan berjaya menumpaskan sindiket pengubahan wang haram yang membawa masuk wang jenayah bernilai sekitar AS$1.2 bilion ke dalam negara.
Antara tahun 2022 hingga 2024, ahli sindiket tersebut termasuk kakitangan bank didapati memalsukan kad pengenalan dan cop bank untuk menubuhkan 187 perniagaan serta membuka lebih 600 akaun bank korporat.
Menurut kenyataan polis pada Rabu, akaun-akaun tersebut digunakan bagi memindah dan menghalalkan wang hasil penipuan atau perjudian dari luar negara.
Jumlah transaksi keseluruhan dianggarkan mencapai AS$1.2 bilion.
Penahanan termasuk seorang kakitangan bank dilakukan di Danang, di mana polis menyifatkan kes tersebut sebagai kes pengubahan wang haram terbesar pernah dibongkar di bandar pantai tengah itu.
Polis turut merampas 122 cop palsu serta salinan asal 40 sijil pendaftaran perniagaan.
Pada Oktober lalu, hartawan hartanah Vietnam, Truong My Lan, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan pengubahan wang haram.
Beliau bagaimanapun mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Sebelum ini, Truong telah dijatuhi hukuman mati dalam kes penipuan berasingan melibatkan AS$27 bilion.- AFP