fb fb fb fb fb

Deportasi besar-besaran,Mexico bina khemah perlindungan sementara

Foto REUTERS

CIUDAD JUAREZ, 23 Januari- Pihak berkuasa Mexico telah mula membina khemah perlindungan gergasi di bandar ini sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang besar rakyat Mexico yang akan di deportasi di bawah janji Presiden AS, Donald Trump.

Khemah sementara di Ciudad Juarez mampu menampung ribuan orang dan dijangka siap dalam beberapa hari, menurut pegawai perbandaran Enrique Licon.

"Ini belum pernah berlaku sebelum ini," kata Licon pada Selasa, sambil pekerja memunggah penyangga logam panjang dari treler traktor yang diparkir di kawasan lapang berhampiran Rio Grande, yang memisahkan bandar itu dengan El Paso, Texas.

Khemah di Ciudad Juarez adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan Mexico untuk menyediakan tempat perlindungan dan pusat penerimaan di sembilan bandar di sepanjang utara Mexico.

Pihak berkuasa di lokasi tersebut akan menyediakan makanan, tempat tinggal sementara, rawatan perubatan, dan bantuan mendapatkan dokumen pengenalan kepada warga Mexico yang dideportasi.

Menurut dokumen kerajaan Mexico, strategi berkenaan dikenali sebagai "Mexico Memeluk Anda."

Kerajaan Mexico dilaporkan turut merancang untuk menyediakan bas bagi mengangkut rakyat Mexico dari pusat penerimaan kembali ke kampung halaman mereka.

Sebelum ini, Trump telah berjanji untuk melaksanakan usaha deportasi terbesar dalam sejarah AS, yang dijangka melibatkan jutaan pendatang.

Namun, operasi itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun dan memerlukan kos yang sangat besar.

Hampir 5 juta rakyat Mexico tinggal di Amerika Syarikat tanpa kebenaran, menurut analisis yang dilakukan oleh El Colegio de la Frontera Norte (COLEF) berdasarkan data banci AS terkini.

Pentadbiran Trump pada Isnin telah menamatkan program yang dikenali sebagai CBP One, yang membenarkan beberapa migran yang menunggu di Mexico untuk memasuki AS secara sah dengan mendapatkan janji temu melalui aplikasi kerajaan.

Pada Selasa, Trump mengumumkan pelaksanaan semula Protokol Perlindungan Migran (MPP), satu inisiatif yang memaksa pencari suaka bukan dari Mexico untuk menunggu di Mexico sehingga kes mereka diselesaikan di AS.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD