fb fb fb fb fb

Taliban Pakistan beri amaran lancar lebih banyak serangan terhadap polis

(FOTO FAIL/ AFP)

KARACHI, 18 Februari- Taliban Pakistan memberi amaran akan melancarkan lebih banyak serangan terhadap pegawai penguatkuasa undang-undang, sehari selepas empat orang terbunuh apabila skuad bunuh diri menyerang perkarangan balai polis di Karachi.

Polis sering digunakan di barisan hadapan pertempuran Pakistan dengan Taliban dan kerap pula menjadi sasaran militan yang menuduh mereka melakukan pembunuhan di luar batas undang-undang dan kehakiman.

Bulan lalu, lebih 80 pegawai terbunuh apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan jaket berisi bom di sebuah masjid di dalam kawasan polis di bandar barat laut Peshawar.

Insiden itu mencetuskan kritikan dalam kalangan anggota polis berpangkat rendah, yang mengatakan mereka kini perlu melakukan kerja pasukan tentera.

"Anggota polis harus mengelakkan daripada terbabit dalam peperangan dengan tentera, jika tidak, serangan ke atas lokasi selamat pegawai tertinggi polis akan berterusan," kata Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) dalam satu kenyataan.

"Kami ingin memberi amaran sekali lagi kepada agensi keselamatan untuk menghentikan pembunuhan banduan yang tidak bersalah dengan mengadakan operasi palsu sekiranya mahu mengelakkan kami meningkatkan serangan menjadi lebih teruk pada masa depan," katanya.

Petang semalam, skuad berani mati Taliban menyerbu perkarangan Pejabat Polis Karachi di bandar pelabuhan selatan, menyebabkan pertempuran senjata selama berjam-jam yang berakhir apabila dua penyerang ditembak mati dan yang ketiga meletupkan dirinya.

Dua pegawai polis, seorang renjer tentera dan seorang pekerja pembersihan awam maut dalam serangan itu, kata pegawai.

Perkarangan yang dikawal ketat di tengah-tengah bandar itu menempatkan berpuluh-puluh bangunan pentadbiran dan kediaman ratusan pegawai serta keluarga mereka.


(FOTO AFP)

Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah, memberitahu Samaa TV bahawa penyerang memasuki perkarangan selepas melepaskan tembakan roket ke arah pintu pagar sebelum merampas bangunan utama Pejabat Polis Karachi dan berlindung di atas bumbung.

Bunyi tembakan dan letupan bom tangan bergema di kawasan kejiranan selama berjam-jam ketika pasukan keselamatan perlahan-lahan menaiki lima tingkat untuk menamatkan serangan.

Tangga yang dipenuhi peluru membuktikan pertempuran senjata yang berlaku amat sengit.

Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, berikrar untuk menghapuskan keganasan.

"Pakistan bukan saja mahu menghapuskan keganasan tetapi akan membunuh pengganas dengan membawa mereka ke muka pengadilan," katanya di twitter.

Mengutuk serangan itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Ned Price, berkata AS berdiri teguh bersama rakyat Pakistan dalam menghadapi serangan pengganas itu.

"Keganasan bukanlah jawapannya, dan ia mesti dihentikan," katanya.

Dalam kenyataan mereka, Taliban menyebut serbuan itu sebagai syahid yang diberkati dan memberi amaran bahawa lebih banyak seumpamanya akan menyusul.

"Serangan ini adalah mesej kepada semua agensi keselamatan anti-Islam di Pakistan. Tentera dan polis akan disasarkan di setiap tempat penting sehingga jalan untuk pelaksanaan sistem Islam di negara itu dibuka," katanya. - AFP


(Keadaan selepas terjadi serangan balai polis di Karachi, Pakistan/ REUTERS)

Media Baharu