fb fb fb fb fb

Taliban bebaskan bekas tentera Kanada

Bekas tentera Kanada, David Lavery membantu kira-kira 1,000 penduduk Afghanistan melarikan diri ketika kekecohan di Lapangan terbang Kabul / Foto www.theglobeandmail.com

DOHA, 27 Januari-Seorang bekas tentera Kanada, David Lavery, yang ditahan oleh kerajaan Taliban di Afghanistan, dibebaskan pada Ahad selepas lebih dua bulan dipenjarakan.

Pembebasan berkenaan merupakan usaha Qatar yang menjadi perantara kedua-dua kerajaan Qatar dan Taliban.

Lavery ditahan oleh pihak berkuasa Taliban di Kabul pada November 2024 dan pernah menjadi tajuk utama tiga tahun lalu kerana membantu pemindahan rakyat Afghanistan semasa pengunduran tentera AS dan sekutu dari negara itu.

"Lavery telah dibebaskan dari Afghanistan dan kini berada di Doha, Qatar," kata sumber itu dengan syarat namanya dirahsiakan kerana sensitiviti rundingan, sambil menambah bahawa pembebasannya "diperoleh selepas permintaan kerajaan Kanada kepada Qatar."

"Perantara Qatar bekerjasama dengan pegawai kanan Kanada dan menggunakan hubungan mereka di Afghanistan untuk menghantar pasukan perubatan ke Kabul bagi menilai keadaan Lavery serta memberi rawatan, sambil memudahkan komunikasi antara Lavery dan keluarganya," tambah sumber itu.

"Selepas kejayaan dalam rundingan, Lavery kini berada di Doha dan telah bersatu semula dengan keluarganya.

"Beliau menjalani pemeriksaan perubatan sejurus tiba," kata sumber itu lagi.

"Saya baru sahaja bercakap dengan David Lavery selepas ketibaannya dengan selamat di Qatar dari Afghanistan," kata Menteri Luar Kanada, Melanie Joly, dalam hantaran di X.

"Beliau berada dalam keadaan semangat yang baik," tambahnya sambil mengucapkan terima kasih kepada Qatar atas bantuan dalam mendapatkan pembebasannya.

Pada tahun 2021, Lavery membantu kira-kira 100 rakyat Afghanistan melarikan diri dari Kabul semasa pengunduran tentera AS dan sekutu yang kacau-bilau.

Beliau menghabiskan beberapa dekad dalam angkatan tentera Kanada dan dilaporkan menjadi anggota utama Unit Operasi Khas Joint Task Force 2.

Baru-baru ini, Lavery dikatakan menjalankan sebuah firma keselamatan swasta di Kabul.

Pembebasan bekas tentera ini menyusul selepas pembebasan dua rakyat AS oleh kerajaan Taliban minggu lalu dari penjara dalam pertukaran dengan seorang pejuang Afghanistan yang ditahan di Amerika Syarikat, dalam satu lagi perjanjian yang diselia oleh Qatar.

Ryan Corbett, yang ditahan pada 2022, dan William McKenty dibebaskan sebagai pertukaran dengan Khan Mohammed.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD