LONDON, 27 Januari- Pemuzik legenda The Beatles, Paul McCartney, memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk "menipu golongan artis, dan menggesa kerajaan Britain memastikan reformasi hak cipta yang akan datang melindungi industri kreatif negara.
Secara global, industri muzik dan filem sedang bergelut dengan implikasi undang-undang dan etika model AI yang mampu menghasilkan karya sendiri selepas dilatih menggunakan karya popular, tanpa perlu membayar pencipta kandungan asal.
Pada Disember lalu, Britain mencadangkan satu kaedah untuk artis melesenkan karya mereka untuk digunakan dalam melatih AI, tetapi juga mengusulkan pengecualian bagi menyokong penggunaan berskala besar bahan oleh pembangun AI apabila hak cipta tidak diperuntukkan.
Dalam wawancara bersama BBC yang disiarkan pada Ahad, McCartney menyuarakan kebimbangan bahawa hanya syarikat teknologi besar yang akan mendapat manfaat jika hak cipta tidak dilindungi dengan betul.
"AI adalah perkara yang hebat, tetapi ia tidak sepatutnya menipu orang kreatif," kata McCartney.
"Pastikan anda melindungi pemikir kreatif, artis kreatif, atau mereka akan hilang. Semudah itu", jelasnya.
Kerajaan Britain kini sedang meneliti pembaharuan undang-undang hak cipta, menyatakan terdapat ketidakpastian undang-undang mengenai cara undang-undang sedia ada diterapkan yang boleh menjejaskan pelaburan dan penggunaan teknologi AI.
McCartney, yang pada tahun 2023 menggunakan AI untuk membantu mencipta semula suara mendiang penyanyi utama kumpulan The Beatles, John Lennon, daripada rakaman kaset lama, berkata terdapat risiko artis akan kehilangan hak mereka jika perubahan itu tidak ditangani dengan baik.
"Anak muda yang baru hendak mencipta nama mungkin menulis lagu yang indah, tetapi mereka tidak memilikinya, tidak terlibat dengannya, dan sesiapa sahaja boleh meniru atau mengambilnya," katanya.
"Fakta sebenarnya, wang itu pergi ke tempat lain. Ia berada di platform penstriman dan seseorang mendapatnya, dan ia sepatutnya pergi kepada pencipta asal. Bukan kepada syarikat teknologi besar", katanya.
Untuk rekod,Paul McCartney ialah salah seorang anggota utama kumpulan legenda The Beatles, yang ditubuhkan pada tahun 1960 di Liverpool, England.
Bersama-sama John Lennon, George Harrison, dan Ringo Starr, McCartney menjadi sebahagian daripada kumpulan yang merevolusikan muzik popular dunia.
The Beatles terkenal dengan karya agung seperti Hey Jude, Let It Be, dan Yesterday.
Selepas kumpulan itu berpecah pada tahun 1970, McCartney meneruskan kerjaya solo yang berjaya dan membentuk kumpulan muzik sendiri iaitu Paul McCartney and Wings.-REUTERS.