fb fb fb fb fb

New Zealand longgarkan peraturan visa pelawat, tarik lebih ramai nomad digital

Pemandangan matahari terbenam di Auckland, New Zealand / Foto REUTERS

WELLINGTON, 27 Januari - New Zealand akan memperkenalkan peraturan visa yang lebih longgar untuk membolehkan pelancong dapat bekerja dari jauh semasa melawat negara tersebut.

Inisiatif tersebut dilihat sebagai usaha merangsang sektor pelancongan dan ekonomi negara itu.

Menteri Imigresen Erica Stanford berkata dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa visa pelawat akan diubah bermula 27 Januari bagi membolehkan individu bekerja ketika melancong ke negara itu.

“Ini adalah pasaran pelancongan yang baharu untuk New Zealand manfaatkan. Kami mahu orang ramai melihat New Zealand sebagai tempat yang ideal untuk dilawati dan bekerja pada masa yang sama,” katanya.

Dalam sidang media susulan pengumuman itu, Stanford menyatakan beliau tidak pasti berapa ramai yang akan merebut peluang tersebut, tetapi visa nomad digital telah menjadi luar biasa popular di kebanyakan negara.

Katanya, New Zealand menyasarkan golongan yang berminat untuk bekerja sambil melancong di negara itu.

“Saya menjangkakan bahawa mereka akan menghabiskan masa yang lebih lama daripada biasa di sini. Mereka akan berbelanja lebih banyak kerana tempoh tinggal yang lebih panjang, dan perkara yang benar-benar kami harapkan adalah mereka jatuh cinta dengan tempat ini,” katanya.

Ekonomi New Zealand mengalami kemelesetan pada suku ketiga 2024, dan kerajaan sedang mencari cara untuk meningkatkan pertumbuhan.

Sektor pelancongan masih belum pulih sepenuhnya selepas penutupan sempadan semasa pandemik COVID-19, dengan kedatangan pelawat antarabangsa hanya sekitar 86% berbanding tahun 2019.

“Visi kerajaan adalah supaya peraturan visa baharu ini meletakkan New Zealand di peta sebagai destinasi mesra untuk bakat dunia,” kata Nicola Willis, Menteri Pertumbuhan Ekonomi.

“Kami berharap, dalam beberapa kes, ia akan mendorong individu dan firma yang mereka wakili untuk mempertimbangkan untuk menjalankan lebih banyak urusan perniagaan dengan New Zealand pada masa depan,” tambah Willis.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD