fb fb fb fb fb

Deportasi pendatang: AS dan Colombia capai kata sepakat

Pemandangan Bandar Bogota / Foto REUTERS

WASHINGTON, 27 Januari–Amerika Syarikat (AS) dan Colombia berjaya mengelakkan perang perdagangan pada Ahad selepas White House mengumumkan bahawa negara Amerika Selatan itu bersetuju menerima penerbangan tentera yang membawa pulang pendatang yang dideportasi.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mengancam untuk mengenakan tarif dan sekatan terhadap Colombia kerana enggan menerima penerbangan tentera yang membawa pendatang yang dideportasi sebagai sebahagian daripada tindakan kerasnya terhadap imigresen.

Namun, dalam satu kenyataan pada Ahad, White House menyatakan bahawa Colombia telah bersetuju untuk menerima pendatang tersebut, dan AS tidak akan mengenakan penalti yang dirancang.

"Kerajaan Colombia telah bersetuju dengan semua syarat Presiden Trump, termasuk penerimaan tanpa sekatan terhadap semua pendatang tanpa izin dari Colombia yang dihantar pulang dari Amerika Syarikat, termasuk dengan pesawat tentera AS, tanpa halangan atau kelewatan," kata kenyataan itu.

Draf perintah untuk mengenakan tarif dan sekatan terhadap Colombia akan "ditangguhkan dan tidak ditandatangani, kecuali jika Colombia gagal mematuhi perjanjian berkenaan," tambah kenyataan tersebut.

"Peristiwa hari ini jelas menunjukkan kepada dunia bahawa Amerika dihormati sekali lagi.

"Presiden Trump mengharapkan semua negara lain di dunia untuk bekerjasama sepenuhnya dalam menerima deportasi rakyat mereka yang secara haram berada di Amerika Syarikat," menurut kenyataan itu.

Menteri Luar Colombia, Luis Gilberto Murillo, dalam kenyataan lewat Ahad berkata pihaknya telah mencapai kata sepakat dengan Kerajaan Amerika Syarikat.

"Kerajaan Colombia telah menyediakan pesawat Presiden untuk memudahkan kepulangan rakyat Colombia yang akan tiba pagi ini melalui penerbangan deportasi", Kata Murillo.

Murillo dan Duta Colombia ke Amerika Syarikat dijangka melawat Washington dalam beberapa hari akan datang untuk membincangkan perjanjian yang membawa kepada pertukaran nota diplomatik antara kedua-dua kerajaan, menurut kenyataan dari Colombia.

Tindakan kedua-dua negara menyebabkan langkah draf Washington ditangguhkan termasuk mengenakan tarif sebanyak 25% terhadap semua barangan Colombia yang masuk ke AS, yang akan meningkat kepada 50% dalam tempoh seminggu; larangan perjalanan dan pembatalan visa ke atas pegawai kerajaan Colombia; serta sekatan perbendaharaan, perbankan, dan kewangan kecemasan.

Trump juga mengancam untuk meningkatkan pemeriksaan sempadan terhadap warga dan kargo dari Colombia.

Sebelum pengumuman perjanjian penerbangan itu, jurucakap Jabatan Negara AS berkata bahawa AS telah menggantung pemprosesan visa di kedutaan AS di Bogota.

Colombia merupakan rakan dagang ketiga terbesar AS di Amerika Latin. Manakala AS pula adalah rakan dagang terbesar Colombia, terutamanya disebabkan oleh perjanjian perdagangan bebas 2006 yang menghasilkan perdagangan dua hala bernilai AS$33.8 bilion pada 2023 dengan lebihan dagangan AS sebanyak AS$1.6 bilion, menurut data Biro Banci AS.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD