fb fb fb fb fb

Taiwan tidak anggap pelancaran satelit China campur tangan pilihan raya

Foto Reuters

TAIPEI, 10 Januari - Taiwan berkata ia tidak menganggap pelancaran satelit China dimana roketnya terbang melintasi selatan Taiwan sebagai percubaan campur tangan pilihan raya, menjelang Pilihan Raya Presiden dan Parlimen, Sabtu ini.

Kerajaan pada Selasa telah tersilap mengeluarkan amaran serbuan udara selepas roket China yang membawa satelit sains terbang di selatan Taiwan pada ketinggian lebih 500 km.

Kementerian pertahanan kemudiannya memohon maaf di atas penggunaan perkataan yang salah dalam bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan "peluru berpandu".

“Selepas pasukan keselamatan negara menganalisis keseluruhan maklumat berkaitan dan mengambil kira penilaian maklumat pelbagai sekutu antarabangsa, percubaan politik boleh ditolak,” kata pejabat presiden menerusi satu kenyataan.

Walaupun pelancaran roket itu mencetuskan penggera palsu, Taiwan, yang dilihat China sebagai wilayahnya berhubung bantahan keras kerajaan di Taipei, telah berulang kali menuduh Beijing cuba campur tangan dalam undian, sama ada melalui ketenteraan, politik, ekonomi atau cara lain.

China telah melabelkan dakwaan tersebut sebagai “helah kotor”.

Pejabat Presiden telah menyifatkan pelancaran itu sebagai sebahagian daripada corak gangguan seperti kes belon baru-baru ini yang dikesan di atas pulau tersebut.

Parti pembangkang terbesar Taiwan, Kuomintang (KMT), membidas kerajaan pada Selasa dan berkata amaran yang dikeluarkan berhubung pelancaran satelit "tidak sepatutnya menjadi alat pilihan raya".

“KMT menyokong penggunaan amaran peringkat kebangsaan untuk memaklumkan orang ramai, tetapi piawaian yang sepatutnya adalah sama ada ia menyebabkan bahaya kepada Taiwan.

"Jika tidak, jika amaran dihantar sewenang-wenangnya, adalah sukar bagi orang ramai untuk tidak menyangka ia adalah manipulasi pilihan raya,” kata KMT menerusi kenyataan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN