fb fb fb fb fb

Sekumpulan lelaki bersenjata ceroboh stesen TV Ecuador ketika siaran langsung

Foto Reuters

GUAYAQUIL, 10 Januari – Siaran langsung sebuah stesen televisyen Ecuador, TC telah diganggu pada Selasa oleh beberapa orang bersenjata dengan bunyi tembakan dan jeritan kedengaran menerusi siaran langsung itu.

Kejadian berlaku selepas Presiden Ecuador, Daniel Noboa mengeluarkan dekri mengisytiharkan 22 kumpulan samseng sebagai organisasi pengganas.

Sekumpulan lelaki itu,  yang memakai balaclava dan kebanyakannya berpakaian hitam dilihat membawa senjata api dan menghampiri beberapa orang kakitangan stesen televisyen itu sebelum siaran itu dimatikan.

Polis menerusi satu hantaran di media sosial berkata perintah untuk mengosongkan studio saluran awam itu telah dikeluarkan sejurus kejadian tersebut berlaku.

Polis turut mengesahkan terdapat 13 tangkapan dan siaran media sosial polis menunjukkan gambar lelaki muda berbaring di atas lantai dengan tangan berzip di belakang.

Stesen televisyen TC berkongsi bangunan yang sama dengan penyiar awam yang lain iaitu Gamavision dan beberapa stesen radio.

Penyerang masuk melalui Gamavision, menyerang kakitangan di sana dan meninggalkan bom, kata penyelaras berita TC dan wartawan, Leonardo Flores Moreno kepada Reuters.

"Kami sedang bermesyuarat dan mereka memaklumkan kepada kami dan kami dapat bersembunyi.Kami tidak tahu apa yang berlaku, orang ramai gugup, terdapat ramai rakan sekerja dari Gama dan TC yang bersembunyi," kata Flores.

Noboa, anak kepada salah seorang lelaki terkaya di negara itu yang telah mengambil alih jawatan Presiden pada November berjanji untuk membendung gelombang keganasan berkaitan perdagangan dadah di jalanan dan di penjara yang telah berkembang selama bertahun-tahun.

Menerusi dekri terkini yang diterbitkan pada petang Selasa, Noboa berkata beliau mengiktiraf "konflik bersenjata dalaman" di Ecuador dan mengenal pasti beberapa kumpulan penjenayah sebagai kumpulan pengganas, termasuk Los Choneros. Dekri itu mengarahkan angkatan bersenjata untuk meneutralkan kumpulan tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN