MANILA, 10 Januari - Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata pada Selasa negaranya bersedia untuk bekerjasama dengan beberapa negara Asia Tenggara yang lain untuk memuktamadkan tatakelakuan yang telah lama tertangguh untuk Laut China Selatan ketika kebanyakan negara jiran yang lain mempunyai tuntutan bertindih dengan negara China.
"Mengenai Laut China Selatan, Indonesia bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara anggota ASEAN termasuk Filipina untuk memuktamadkan Tatakelakuan secepat mungkin," kata Retno pada sidang media bersama rakan sejawatan Filipina Enrique Manalo di Manila, menjelang kunjungan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan China telah bertahun-tahun berusaha untuk mewujudkan rangka kerja untuk merundingkan tatakelakuan, seawal tahun 2002.
Namun ianya dilihat perlahan walaupun semua pihak telah menyatakan komitmen untuk memajukan dan mempercepatkan proses tersebut.
China mempertaruhkan tuntutannya pada petanya dengan menggunakan "garisan sembilan sengkang" yang berputar sejauh 1,500 km (900 batu) ke selatan tanah besarnya, memotong zon ekonomi eksklusif Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.
Keputusan tribunal timbang tara antarabangsa pada 2016 telah membatalkan tuntutan China itu sekali gus ditolak oleh Beijing.-REUTERS