TAIPEI, 29 Julai – Kementerian Luar Taiwan menafikan laporan bahawa Presiden Lai Ching-te dihalang daripada melintasi Amerika Syarikat, sambil menegaskan beliau tidak mempunyai rancangan untuk ke luar negara dalam masa terdekat.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan Financial Times yang mendakwa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, menolak permohonan Lai untuk singgah di New York dalam perjalanan rasmi ke Amerika Selatan bulan depan, dipercayai atas tekanan China.
Jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei berkata, tiada sebarang penangguhan, pembatalan atau penolakan permohonan transit daripada pihak AS.
Tambah beliau, fokus semasa Presiden Lai adalah terhadap usaha pemulihan pasca bencana di selatan Taiwan, rundingan tarif dua hala dengan AS, serta situasi semasa global.
Sebelum ini, Paraguay, satu-satunya sekutu diplomatik Taiwan di Amerika Selatan memaklumkan bahawa Lai dijadual melawat negara itu dalam tempoh 30 hari, sekali gus mencetus spekulasi beliau akan transit di AS, seperti kebiasaan pemimpin Taiwan sebelum ini.
Walaupun Amerika Syarikat tidak mengiktiraf Taiwan secara rasmi, Washington kekal sebagai rakan utama dan pembekal senjata terbesar kepada pulau demokrasi itu.
Mengulas laporan FT, bekas Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi menyifatkan tindakan menghalang transit tersebut sebagai “isyarat berbahaya,” dan mendakwa ia memberi kemenangan kepada Presiden China, Xi Jinping dalam menekan dasar luar AS.
China yang menganggap Taiwan sebahagian daripada wilayahnya, sekali lagi mengulangi bantahan terhadap sebarang lawatan rasmi pemimpin Taiwan ke AS. - AFP